Senarai bocor 121 Ahli Parlimen: Anwar dipanggil Bukit Aman | DagangNews Skip to main content

Senarai bocor 121 Ahli Parlimen: Anwar dipanggil Bukit Aman

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Polis telah mengesahkan bahawa pihaknya telah memanggil Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merakam keterangan berikutan tindakannya membocorkan dokumen dan senarai 121 Ahli Parlimen yang kononnya terlibat menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan berhubung isu berkenaan bermula setelah Ahli Parlimen UMNO Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

"Isu ini akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dengan niat menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang ramai.

"Dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi butiran yang menyinggung dan mengancam," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir Mohamed Huzir Mohamed
Huzir Mohamed 

 

Tambah Huzir, sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap Presiden PKR itu.

Susulan itu, Anwar perlu menghadirkan diri ke Bukit Aman pada pukul 11 pagi tadi untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, Anwar dimaklumkan hanya akan hadir pada pukul 9 pagi esok (13 Oktober).

"Untuk itu, kami telah menangguhkan perjumpaan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat, katanya lagi.

Huzir turut menyeru kepada orang ramai agar tidak menyebarkan berita dan maklumat yang tidak sahih seperti penularan isu berkenaan.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menyebarkan berita palsu atau maklumat yang tidak disahkan bagi mengelirukan orang ramai," jelasnya.

Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, esok.

Dalam kenyataan media pada 8 Oktober lau, Anwar memberitahu akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu. - DagangNews.com