Senheng peruntuk capex RM160 juta laksana pelan pengembangan dalam tempoh 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Senheng peruntuk capex RM160 juta laksana pelan pengembangan dalam tempoh 3 tahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Senheng New Retail Bhd. mengekalkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM160 juta bagi melaksanakan langkah pengembangan cawangan dalam tempoh 3 tahun akan datang.

 

Ia merancang untuk membuka 61 cawangan baharu atau menaik taraf cawangan sedia menjelang 2024 di kawasan bandar dan pinggir bandar.

 

Ini sejajar dengan unjuran CGS-CIMB Research sebanyak RM165 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24.

 

Menurut firma itu, langkah yang dilaksanakan Senheng itu dapat merangsang jualan bagi setiap cawangan dan juga bahagian pasaran.  

 

Katanya, setakat ini, pelan pengembangannya berjalan dengan baik dengan sasaran untuk menaik taraf 6 cawangan pada suku kedua dengan sasaran 21 cawangan baharu dan naik taraf pada FY22.

 

Selain itu, Senheng juga menempatkan semula beberapa cawangannya ke kawasan atau pusat beli-belah yang mempunyai bilangan pengunjung paling banyak, yang menepati jualan masa depannya.

 

"Kami dapati pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) Senheng di 99 daripada 105 cawangannya dijangka mrekodkan hasil jualan yang positif, manakala 6 lagi cawangan akan mengalami penguncupan pada suku kedua disebabkan penutupan bagi menjalankan kerja-kerja naik taraf. 
 

 

"Prestasi ini selaras dengan anggaran pertumbuhan kami kira-kira 20% pada suku kedua berdasarkan momentum jualan yang menggalakkan dan asas yang lebih rendah pada suku pertama 2021," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Senheng dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada 80 sen. 

 

Menurutnya, Senheng kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi mengimbangi kenaikan kos. 

 

Ini kerana katanya, kenaikan gaji minimum dijangka memberi kesan kepada 70% daripada 2,000 pekerjanya di samping kenaikan kos input yang akan memberi tekanan kepada kos struktur. 

 

"Bagaimanapun, ia bercadang untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan kecekapan kos dalaman dan produktiviti cawangan bagi menangani situasi berkenaan. 

 

"Antara inisiatif ini termasuk meningkatkan produktiviti dengan liputan trak yang lebih luas dan meningkatkan purata saiz transaksi setiap kedai melalui penambahbaikan kedai, dengan reka bentuk dalam kedai yang lebih baik dan pemilihan produk yang lebih luas," katanya.

 

Setakat 10.01 pagi ini, harga sahamnya susut 3.5 sen atau 4.73% kepada 70.5 sen dengan 1.65 juta saham diniagakan. - DagangNews.com