Nak main saham kena ada ilmu, bukan pasal muka tak hensem
Minggu lepas media arus perdana melaporkan gesaan daripada Bursa Malaysia agar pelabur runcit mempunyai ilmu pelaburan saham sebelum membeli saham. Gesaan ini dibuat ekoran pelabur runcit menguasai hampir 40% daripada nilai urus niaga saham di Bursa Malaysia sejak awal bulan ini. Juga seperti dalam artikel saya pada Siri 8 minggu lepas ada menyebut Bursa Malaysia mencatat 27.8 bilion volum tertinggi pada 11 Ogos 2020 walaupun pandemik COVID-19 masih belum menemui vaksinnya!
Pelabur Runcit
Justeru, ada kegusaran dalam kalangan pemerhati saham bahawa pelabur runcit membuat pelaburan saham atas elemen spekulasi dan emosi. Malah pihak Bursa Malaysia turut menekankan pentingnya pelabur runcit membuat keputusan pelaburan melalui kajian khasnya analisis asas dan teknikal.
Para penganalisis saham bimbang apabila pelabur runcit mula membuat belian bersih sebanyak RM3.3 bilion bagi tempoh Jun hingga Julai 2020, iaitu kadar penyertaan tertinggi mereka sekitar 38.1% yang menunjukkan kemungkinan wujudnya spekulasi dan emosi!
Atas gesaan Bursa Malaysia inilah ada kawan saya jemaah surau meminta saya memperinci maksud analisis asas dan teknikal. Oleh kerana kaki surau pun ada grup yang minat main saham syariah, artikel saya mengenai pelaburan syariah terpaksa saya bawa ke Siri 10 untuk perbincangan khusus.
Para ustaz dan imam pasti tersenyum sebab mereka terus melabur saham syariah dengan ilmu melalui kursus bersiri di Asri Ahmad Academy sejak 2019 lagi dan mampu meraih keuntungan dari semasa ke semasa!
Sebagai pengendali bursa nasional, sudah pasti Bursa Malaysia mahu melihat pelabur runcit membuat keputusan sebagai pelabur lebih bermaklumat selain menyedari bahawa pelaburan mereka sepadan dengan minat risiko dan sasaran pelaburan mereka. Gesaan ini selari dengan perbincangan kita mengenai pertalian antara risiko dan pulangan dalam aritkel saya Rabu lepas.
Maknanya, seperti ungkapan klasik dan hukum pelaburan `risiko rendah pulangan rendah'. Contohnya akaun simpanan adalah pelaburan selamat dengan risiko paling rendah, begitu juga pulangan amat rendah, sekitar 3% setahun sahaja. Sebaliknya, `risiko tinggi pulangan tinggi', seperti pelaburan saham adalah pelaburan berisiko untuk tanggung kerugian besar tetapi menjanjikan peluang pulangan yang lumayan, yang akan dibincangkan dengan lanjut dalam artikel Siri 12.
Spekulasi
Spekulasi adalah aktiviti pelaburan bermatlamat membuat keuntungan besar dalam masa yang singkat melalui kenaikan harga saham. Maknanya spekulator hanya berminat untuk membeli pada harga rendah dan menjual pada harga yang tinggi. Jadi strategi mereka hanya fokus kepada beli dan jual tanpa ada strategi simpan.
Sudah pasti ia amat berisiko bila berlaku kejatuhan harga berterusan di mana pelaburan mereka berakhir dengan `beli rendah jual lebih rendah'. Aktiviti ini diperakui berisiko sebab spekulator melabur atas faktor-faktor emosi, telahan dan andaian tanpa disokong oleh analisis fakta dan figura sama ada kajian fundanental atau teknikal.
Aktiviti spekukasi dan emosi ini tidak digalakkan oleh Bursa Malaysia sebab spekulator lazimnya tidak ada ilmu dan kajian dalam membuat keputusan jual-beli saham. Ahli spekulator cuba mencari tips pelaburan sama ada daripada pengurus dana bebas atau rakan-rakan yang sewaktu dengannya. Akhirnya mereka membuat keputusan jual-beli terburu-buru atas khabar angin atau `cakap-cakap pasar'.
Lazimnya spekulator sebagai pelabur individu mereka lambat mendapat info terkini pasaran berbanding pelabur institusi. Dalam kebanyakan kes spekulator lebih percaya kepada khabar angin berbanding berita sahih; bak kata warganet media sosial `lebih auta daripada fakta'!
Justeru kawan saya merumuskan ada dua hukum untuk menjadi pelabur bergaya dan berjaya:
Hukum No 1: Jangan berspekulasi dan beremosi
Hukum No 2: Jangan lupa hukum pertama di atas
Sebaliknya Bursa Malaysia amat menggalakkan rakyat Malaysia amnya dan pelabur runcit khasnya sentiasa celik kewangan, termasuk menimba ilmu dengan membeli buku bercetak atau e-buku oleh penulis yang berkelayakan dan berpengalaman dalam pelaburan saham.
Malah pelabur baharu disaran untuk memanfaatkan sumber-sumber yang ditawarkan percuma oleh Bursa Malaysia seperti Bursa Marketplace dan Bursa Academy untuk membantu mereka menjadi pelabur berilmu dan berdisiplin.
llmu dan Disiplin
Anggaplah membeli saham atau kaunter macam kita membeli syarikat senaraian awam. Ia adalah satu pelaburan di mana kita belanja sejumlah wang untuk mendapatkan sesuatu saham. Pasti kita kena tahu kenapa dan mengapa kaunter atau firma tersebut menjadi pilihan.
Dengan ilmu dan disiplin, wang yang kita labur tidak akan lebur tetapi terus menjadi lebar dan lebat dari semasa ke semasa. Kita boleh ikuti sehingga kini testimoni anak-anak didik mentor nombor 1 pelaburan saham Malaysia, Haji Asri Ahmad.
Juga untuk menjadi pelabur berdaya ketahanan mapan hingga ke era persaraan, pelabur runcit wajib bersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pelaburan terkini dan juga ilmu celik kewangan peribadi/famili.
Maknanya apabila berjaya menjadi pelabur kaya malah berstatus jutawan, pelabur runcit wajib bijak mengurus kekayaan dalam pelaburan saham dengan limpahan kemewahan hartanya, termasuk mensucikan hartanya melalui zakat dan sedekah untuk menjadi hidup mereka lebih berkat dengan pesanan `rezeki itu milik Allah'.
Analisis Saham
Analisis asas di mana kita kaji asas-asas ekonomi, industri dan syarikat. Asas-asas ekonomi seperti KDNK, inflasi, kadar faedah dan tukaran ringgit Malaysia. Kajian ini boleh dirujuk kepada laporan suku tahunan oleh agensi kerajaan seperti BNM, MIER, MITI dan Jabatan Perangkaan.
Contohnya, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah menurunkan OPR pada 1.75% dalam tempoh PKPB kadar terendah sejak ia diperkenalkan 2004. Malah ahli ekonomi menjangka ia akan diturunkan lagi kepada rekod 1.50% terendah pada akhir 2020. OPR adalah polisi kadar semalaman yang ditetapkan oleh BNM yang membolehkan bank-bank di Malaysia menetapkan pula KLIBOR.
KLIBOR adalah kadar pinjaman antara bank yang di guna-pakai oleh bank-bank dalam menentukan BLR. BLR pula adalah kadar pinjaman asas ke atas pelanggan bank yang menyaksikan kadar pinjaman rumah dan sewa-beli kereta termurah dalam sejarah perbankan Malaysia.
Hasilnya kita lihat pasaran hartabah kembali aktif dan jualan kereta baharu naik mendadak mulai bulan Julai 2020 dengan end-financing semakin murah. Malah apabila OPR diturunkan lagi kepada rekod terendah bawah paras 1.75% mulai Disember 2020, saya yakin pelabur runcit bersedia membuat pinjaman peribadi untuk melabur saham-saham shariah yang berharga bawah RM1 tetapi berkualiti atas analisis asas dan teknikal untuk menyambut kedatangan tahun baharu 2021 disokong oleh ekonomi Malaysia kembali pulih dan vaksin COVID-19 ditemui!
Asas industri pula merangkumi polisi kerajaan, amalan buruh, kitaran industri, insentif cukai dan daya saing. Untuk syarikat pula, kajian meliputi kedudukan kewangan, ahli lembaga pengarah, pasukan pengurusan, R&D, perancangan strategik dan model bisnes.
Namun melalui portal percuma daripada bank pelaburan seperti Nota Kajian, pelabur runcit boleh akses mengenai ekonomi semasa, manfaat industri dan impak kepada syarikat. Kajian asas ini mirip kepada sistem piramid bermula daripada ekonomi turun kepada industri dan di akhiri dengan implikasi kepada firma dalam industri terpilih sama ada manfaat atau kekangan.
Pelabur runcit kena ingat pelaburan saham boleh mendatangkan keuntungan apabila berlaku kenaikan harga atas strategi `beli murah jual mahal' atau `beli mahal jual lagi mahal'. Juga bila kita aplikasikan strategi simpan, pelabur runcit sebagai pemegang saham layak menerima dividen tunai atau dividen saham.
Melalui analisis fundamental, firma yang kukuh rekod kewangan yang sentiasa mencatat keuntungan akan membayar dividen berkala, sama ada sukuan, separuh tahun atau tahunan. Malah bayaran dividen mewajarkan pelabur runcit menampung kejatuhan sementara harga saham firma tersebut.
Analisis Teknikal
Analisis teknikal pula mengguna pakai seperti namanya, fokus kepada teknik-teknik dalam bentuk carta dan graf. Analisis ini amat pantas membuat keputusan pelaburan dengan hanya berpandukan kepada harga dan volum yang lepas untuk membuat ramalan, hipotesis dan simulasi. Justeru kaedah ini dianggap jalan pintas mencari isyarat jual atau beli sesuatu kaunter di mana mereka menggelar diri mereka sebagai technician atau chartist!
Terkini pula penganalisis ini memperhalusi isyarat jual-beli melalui pembetukan candlestick yang sedang menyala atau mula malap. Kaedah ini mempelopori isyarat jual untuk garis rintangan atau beli untuk garis sokongan. Maka wujudlah strategi Sell on Strength atau Buy on Weakness. Malah ia terus diharmonikan lagi untuk dilanjutkan kepada Buy on Breakout iaitu bila wujud isu baharu yang kelihatan garisan berpecah ke atas sesuatu saham atau kaunter.
Memang agak teknikal untuk dibahaskan dalam artikel atas talian, nanti editor DagangNews beri amaran pula. Juga semakin banyak teknik-teknik dalam analisis teknikal. Terkini ada 14 teknikal yang diharmonikan demi mendapat lebih kecepatan dan ketepatannya.
Jadi untuk mendapat perbincangan lanjut dalam teks dan infografik, pembaca boleh beli e-buku saya bersama pakar kewangan famili/usahawan Dr Ismail Ab Wahab dan bekas remiser/peniaga, Yusdi Junus yang kini pelabur separuh masa saham syariah.
Setelah mendapat komen daripada pengikut FB kami, kami bersetuju melancarkan e-buku kami bulan depan atas tajuk NAK JADI JUTAWAN: JOM BERNIAGA SAHAM SYARIAH. Kami sudah ada formula dan resipi sebab hanya dalam dua bulan berniaga saham syariah, kami sudah mencapai sasaran tahunan kami.
Jadi, saya harap minggu depan dalam Siri 10 kita berbicara mengenai pelaburan saham syariah bebas daripada riba, gharar dan maisir sebagai langkah berniaga saham syariah di Bursa Malaysia. Insya Allah!
Dr Rosalan Ali adalah bekas Profesor Kewangan UiTM, Felo Fulbright sejak 2011 dan Felo Penyelidik Utama di Lamka Advisory sejak Julai 2020