Penny stocks jadi tumpuan pelabur di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 19 Aug 2020 06:20 AM

PENNY STOCKS JADI TUMPUAN PELABUR DI BURSA MALAYSIA

 

SIRI 7 minggu lepas ada saya cadangkan untuk berbincang mengenai pelaburan saham syariah.  Namun ada kawan setaman perumahan meminta pula saya untuk berbicara ringkas mengenai latar belakang pelaburan saham di Bursa Malaysia. Mereka ingin tahu kenapa bursa saham di Malaysia semakin aktif apabila menyaksikan volum dan nilai saham mencatatkan rekod demi rekod sejak awal Ogos 2020.

Menurut laporan media, urus niaga banyak didominasi oleh saham murahan (penny stocks). Apakah para pelabur runcit mula kembali ke Bursa Malaysia seperti era ‘super bull’ awal 1990an?

 

aaa


Justeru, elok kita faham makna `pelaburan’ dan `saham’. Pelaburan boleh ditakrifkan sebagai `menanam sejumlah modal atau dana pada hari ini dengan harapan untuk mendapat pulangan pada masa hadapan setelah mengambil kira faktor-faktor risiko’. Makna mudahnya, kita melabur sejumlah wang pada hari ini dengan harapan mendapat keuntungan (pulangan positif) pada masa akan datang.

 

Saham dirujuk kepada pemilikan, bermakna seseorang memiliki pegangan dalam sesebuah syarikat. Dalam istilah kewangan, ia dirujuk sebagai ekuiti. Kerap kita dengar dalam laporan media cetak atau media elektronik atau kini media sosial, seseorang individu disahkan memiliki ekuiti terbesar apabila memiliki lebih 51% pegangan dalam sesebuah  syarikat, iaitu peratus penguasaan, khasnya syarikat yang tersenarai.

 

Risiko

Setiap pelabur, sama ada pelabur institusi seperti KWSP dan PNB atau individu iaitu pelabur kecil atau runcit pasti berdepan dengan risiko pelaburan. Namun, kita perlu faham cara mudah pertalian pulangan/risiko.

Lazimnya, lagi
tinggi pulangan yang kita jangka lagi tinggi pula risiko yang akan kita akan hadapi, begitulah sebaliknya. Risiko dalam istilah kedai kopi adalah bahaya, kerap kita jumpa dan terbaca papan tanda di sesuatu kawasan terhad Amaran Bahaya!


 

aaaaa


Juga ibu bapa di kampung selalu memberi  amaran kepada anak-anak kecil `jangan panjat tinggi-tinggi, bahaya!’ Maknanya, dua perkataan amaran dan bahaya berkait-rapat antara pulangan dan risiko. Sebagai contoh, kalau kita panjat pokok yang tinggi, sekiranya kita jatuh pasti akan terasa kesakitan berbanding kalau kita panjat pokok yang rendah, sekiranya kita jatuh hanya mengalami kesakitan yang sedikit sahaja.

 

 Sejak 2019, rakyat Malaysia semakin menunjukkan minat kembali bermain saham. Justeru, banyak buku sama ada bercetak atau elektronik mula membanjiri pasaran dengan memberi fokus kepada pelaburan saham di Bursa Malaysia melalui media sosial.


Pelbagai kursus pelaburan saham, termasuk saham syariah, ditawarkan dengan pelbagai pakej rangsangan termasuk cuti sambil belajar. Malah ada pakar atau sifu saham menawarkan bengkel mentor-mentee sebagai platform susulan untuk melahirkan pelabur bergaya dan berjaya, sama ada separuh masa atau sepenuh masa dengan kos pakej sekitar RM5,000 sahaja!

 

Malah semasa pandemik COVID-19, kursus/bengkel terus juga dikendalikan atas talian atau webinar, namun masih mendapat sambutan hangat daripada pelabur lama dan baharu sebagai ilmu persediaan memasuki Bursa Malaysia. Malah, mengikut laporan media, FBM-KLCI pada 11 Ogos 2020 merekodkan dagangan tertinggi 27.8 bilion unit saham tetapi bernilai hanya RM7.6 bilion sahaja yang memberi isyarat para pelabur fokus kepada saham murahan. Ini bermakna purata harga saham di Bursa Malaysia adalah sekitar 30 sen sahaja, jauh lebih murah daripada harga 50 sen sekeping karipap terlajak sedap tiga bersaudara Tipah/Tijah/Timah di Kg Baru, Kuala Lumpur! 

 

Maksud syarikat senaraian awam?

Senaraian awam dimaksudkan kepada saham syarikat yang didagangkan di bursa saham yang boleh dijual beli oleh orang awam. Orang awam di sini adalah para pelabur yang terdiri daripada pembeli dan penjual. Para penjual adalah dirujuk kepada pemegang saham yang telah memiliki saham sesebuah syarikat dan dia boleh menjual sahamnya kepada pelabur berpotensi yang dikenali sebagai pembeli.

 

Soalnya, bagaimana sebuah syarikat boleh menyenaraikan sahamnya di bursa saham?

Jawabnya syarikat mesti terlebih dahulu bertaraf berhad. Perlu disebut, tidak semua firma berhad adalah firma senaraian awam tetapi semua syarikat awam adalah syarikat berhad. Namun, untuk disenaraikan di bursa saham, ia diwajibkan untuk menyempurnakan proses Tawaran Awam Permulaan atau  IPO  (Initial  Public  Offering).

 

Apa itu IPO?

Istilah IPO amat popular dalam pelaburan saham sehingga akhbar perdana berbahasa Melayu malah DagangNews.com pun mengguna pakai IPO sahaja. Seperti namanya, IPO adalah bermaksud firma berstatus berhad dalam proses menawarkan sahamnya kepada orang awam, yang sebelum ini hanya dipegang oleh individu/institusi tertetu. Bagi tujuan ini, firma tersebut mesti melantik bank pelaburan sebagai penaja-jamin utama. Berperanan sebagai penasihat kewangan, bank pelaburan akan menyediakan prospektus selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti. Sehingga Ogos 2020, terdapat 15 penasihat kewangan saham IPO, sama ada bank pelaburan seperti RHB Investment Bank atau firma pembrokeran saham seperti BIMB Securities.

 

Prospektus sebagai dokumen rasmi IPO memaparkan info penting seperti:

  1. Harga terbitan
  2. Jumlah saham yang ditawarkan
  3. Tarikh tawaran dibuka dan ditutup
  4. Tarikh dijangka disenarai di bursa saham
  5. Profil anggota Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan
  6. Prestasi kewangan lima tahun lepas dan prospek tiga tahun akan datang

 

IPO dikenali sebagai pasaran primer kerana ia melibatkan urus niaga antara firma berhad dan para pelabur. Ia boleh diakses kepada MITI untuk tawaran khas bumiputera dan bank komersial dengan kaedah bayaran atas talian. Pada awal 1990an juga IPO menjadi isu panas yang dibahaskan dari kedai kopi sehingga ke dewan parlimen disebabkan ada dakwaan syarikat bumiputra yang mendapat lot khas IPO di mana pemiliknya boleh menjadi jutawan segera!

 

Selepas proses IPO tamat, saham yang ditawarkan ini akan disebut-harga di bursa saham pada tarikh yang telah ditetapkan. Di Malaysia, bursa saham adalah dikenali sebagai Bursa Saham Sekuriti Malaysia atau ringkasnya, Bursa Malaysia sejak 2003, dahulu amat sinonim dengan nama glamor, BSKL (Bursa Saham Kuala Lumpur). Lazimnya harga senaraian pasaran jauh lebih tinggi daripada harga terbitan.
 

aa


Sebagai contoh harga terbitan hanya RM2 tetapi harga pasaran di Bursa Malaysia adalah RM5 sesaham. Kalau firma Melayu mendapat lot bumiputra sebanyak 400,000 unit, apabila saham IPO diseneraikan, pengarahnya secara automatik memiliki saham bernilai lebih daripada RM800,000 hingga RM2 juta, bermakna dalam tempoh tiga bulan sahaja menjadi jutawan segera! Itu fenomena era lewat 80an dan awal 90an tetapi era pasca krisis mata wang 1997 sudah menjadi sejarah apabila harga senaraian hanya mencatat purata harga premium 50 sen sahaja sehingga Ogos 2020 malah ada yang diniaga pada harga diskaun pula!

 

Harga Pasaran

 

Selepas firma tersebut disenaraikan di bursa saham, ia kini dikenali sebagai firma awam oleh kerana sahamnya sudah dimiliki oleh orang awam. Bursa Malaysia adalah pasaran sekunder, iaitu ia melibatkan urus niaga antara pembeli dan penjual saham yang akan ditentukan oleh kuasa pasaran, sama ada indikator ekonomi tempatan seperti kadar faedah, tukaran asing dan pengangguran atau krisis global geo-politik seperti perang dagang AS-China atau terkini krisis kesihatan COVID-19. Harga pasaran boleh naik, turun atau kekal, yang sekaligus menentukan nilai pasaran sesebuah firma awam.

 

Sebagai contoh, sepanjang tempoh pandemik COVID-19, firma berasaskan sarung tangan getah telah mewarnai Bursa Malaysia apabila empat kaunternya merekodkan keuntungan besar dan harga pasaran naik mendadak antara 3-6 kali ganda. Justeru, Top Glove menduduki tangga kedua, Hartalega ketiga, Supermax ke-16 dan Kossas ke-21 dari segi nilai pasaran pada 6 Ogos 2020 yang diukur oleh FBM-KLCI.

 

aaa


Indeks Bursa Malaysia

 

Prestasi Bursa Malaysia (BSSM) adalah diukur oleh indeks atau indikator, iaitu Financial Bursa Malaysia-Kuala Lumpur Composite Index (FBM-KLCI) yang merangkumi 30 komponen saham firma awam terbesar dari segi nilai pasaran (harga pasaran semasa X bilangan saham). Jadi, kini jelas apabila Top Glove dan Hartalega menduduki tiga tangga teratas di belakang Maybank tempat pertama, manakala Supermax dan Kossas pastinya menyusul sebagai dua komponen baharu FBM-KLCI apabila BSSM membuat penilaian semula pada November 2020.

 

Siri 9 kita akan akan fokus kepada pelaburan saham syariah di Bursa Malaysia di mana sehingga Ogos 2020, terdapat hampir 700 firma adalah patuh syariah, termasuk empat kaunter tersebut; Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossas yang menjadi buruan para pelabur sejak PKP, PKPB dan PKPP.

Malah, sejak awal Ogos 2020, Bursa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan harian sudah melepasi 10 bilion unit saham dan nilai dagangan mencecah purata RM5 bilion sehari. Apakah ini petanda Bursa Malaysia mula kembali didominasi oleh pelabur runcit berbanding pelabur institusi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah dan Bajet 2021 juga teka-teki PRU15? Masa akan menentukan. – DagangNews.com

 

Penulis adalah bekas Profesor Kewangan UiTM, Felo Fulbright sejak 2011 dan Felo Penyelidik Utama di Lamka Advisory sejak Julai 2020