Skip to main content

Sentimen global lebih pengaruhi KLCI pagi ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Pasaran saham tempatan meneruskan lonjakan semalam didorong oleh peningkatan semalaman di Wall Street berbanding perkembangan pengumuman sekatan pergerakan di dalam negara.

 

Walau bagaimanapun, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam dibimbangi ‘menyekat’ indeks penanda aras ekuiti Malaysia untuk menokok lebih tinggi. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi ini, FBM KLCI melonjak sedikit iaitu 3.53 mata untuk mencecah 1,584.02 daripada paras yang ditutup semalam, 1,580.49. 

 

Antara kaunter untung termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Nestle (M) Berhad, UWC Berhad, Greatec Technology Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad, PPB Group Berhad, Petronas Dagangan Berhad dan Mi Technovation Berhad.

 

Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI yang menyaksikan lonjakan besar-besaran semalam akan meneruskan trend peningkatan pada dagangan hari ini. 

 

“Walaupun PKP 2.0 dilanjutkan 14 hari, namun kami percaya indeks penanda aras itu mungkin menguji paras 1,590 selepas dua minggu didagangkan dalam jajaran terhad. 

 

“Saham minyak dan gas mungkin menjadi perhatian utama hari ini dengan minyak mentah Brent didagangkan melepasi AS$56 setong, berlegar pada paras AS$57.50 setong ketika ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat global, Wall Street turut meningkat memandangkan kebimbangan terhadap dagangan runcit mula pudar.

 

Situasi itu terus dipengaruhi oleh sentimen rundingan pakej rangsangan ekonomi baharu di Amerika Syarikat (AS).

 

“Oleh itu, DJI Average melonjak lebih 400 mata untuk menghampiri paras 30,700,” tambah Rakuten Trade. 

 

Menurut Bloomberg, saham-saham Asia dibuka lebih tinggi, menyambung lonjakan ekuiti global ketika keuntungan syarikat dicatatkan lebih tinggi. - DagangNews.com