Sentimen hilang ‘seri’, KLCI susut lebih 11 mata | DagangNews Skip to main content

Sentimen hilang ‘seri’, KLCI susut lebih 11 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pasaran saham tempatan memulakan dagangan pada dua minggu terakhir bagi bulan ini dengan prestasi menurun. 

 

Susulan tiada lagi sentimen atau pemangkin yang dapat mendorong lonjakan indeks pasaran saham di Bursa Malaysia, FBM KLCI dibuka lebih rendah pada awal dagangan pagi ini. 

 

Ketika dagangan dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI hilang 1.66 mata kepada 1,625.35 daripada paras yang ditutup pada Jumaat lalu, 1,627.01. 

 

Namun, setelah 9 minit didagangkan, indeks penanda aras itu menjunam sehingga 11.16 mata untuk mencecah paras 1,615.85. 

 

Rakuten Trade Research mendedahkan bahawa firma penyelidik itu akan membeli saham tempatan sekiranya FBM KLCI jatuh di bawah paras 1,600. 

 

“Kami percaya FBM KLCI akan menjadi ‘lesu' hari ini kerana tiada pemangkin jelas, oleh itu indeks berkenaan dijangka didagangkan dalam julat terhad antara paras 1,620/30. 

 

“Kami akan menjadi pembeli sekiranya penanda aras itu mencecah bawah  paras 1,600.

 

“Sementara itu, kami menjangkakan syarikat logistik akan memasuki radar pelabur memandangkan syarikat-syarikat itu mendapat keuntungan yang besar daripada norma baharu membeli-belah dan penyimpanan,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, perintah berkurung yang diperketatkan dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah telah mendorong Wall Street didagangkan lebih rendah. 

 

Dalam masa sama, dana-dana mula mengalir keluar ke Perbendaharaan AS. 

 

“Susulan itu, DJI Average hilang 177 mata untuk mencecah paras betul-betul atas 30,800, manakala Nasdaq ditutup bawah paras 13,000. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau menjadi tidak menentu hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com