Sepintas lalu Dunia Animasi di Sabah – merentas jalan ke hadapan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 1 October 2021

SEPINTAS LALU DUNIA ANIMASI DI SABAH – MERENTAS JALAN KE HADAPAN

 

 

 

SEJAK beberapa tahun yang lalu, sebagai seorang daripada panel lantikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam bidang kandungan kreatif, saya seringkali mendapat penugasan ke seluruh negara.

 

Penugasan ini merujuk kepada tugasan yang diberikan kepada kami oleh pihak jabatan ke pusat penyedia latihan kemahiran bertauliah; kebiasaannya bagi dua tugasan utama.

 

Pertamanya sebagai panel pentauliahan bagi membolehkan sesebuah pusat latihan kemahiran terbabit bagi menjalankan program latihan kemahiran di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) sama ada untuk permohonan pentauliahan pusat latihan baharu, mahupun permohonan pembaharuan.

 

Kedua, sebagai panel pengesah luaran, bagi memastikan proses penilaian akhir di pusat latihan berkenaan berjalan mengikuti prosedur dan standard yang ditetapkan.

 

Antara lokasi penugasan yang sering saya ditugaskan adalah Sabah Animation Creative Content Centre (SAC3) yang terletak di Penampang, Sabah.

 

SAC3 pada awal penubuhannya adalah sebagai sebahagian inisiatif Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang diselia oleh Sabah Economic Development & Investment Authority (SEDIA), dan penubuhannya diletakkan di bawah Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF).

 

SAC3 menawarkan pelbagai kursus kemahiran kepada belia negeri Sabah termasuklah penerbitan video dan filem, serta kursus berkaitan grafik dan animasi.

 

 

Sabah Animation Creative Content Centre (SAC3)
Pusat Kandungan Kreatif Animasi Sabah (SAC3) di Penampang, Sabah. 

 

 

Dengan fasiliti dan kemudahan yang boleh dikatakan lengkap, SAC3 melahirkan sekian ramai alumni yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkaitan.

 

Dalam satu perkembangan lain, beberapa tahun lalu juga, saya secara kebetulan bertemu Geoffrey Sinn selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Studio Ace Production dalam satu acara kandungan kreatif di Kuala Lumpur.

 

Syarikat yang berpusat di Kota Kinabalu ini menghasilkan produk animasi berkualiti tinggi  serta menawarkan pelbagai perkhidmatan animasi untuk pasaran luar negara dalam pelbagai format  termasuklah webtoon, games dan augmented reality (AR).

 

Geoffrey melalui sebuah lagi syarikat All-For-One Production juga pernah menghasilkan animasi 2D berjudul ‘Legend of Ancient Borneo’ yang terpilih menyertai dan memenangi pelbagai anugerah dalam serta luar negara.

 

Selain itu, tidak lama kemudian, pada tahun 2019, saya mendapat undangan seorang sahabat untuk membantu gerak kerja awal penubuhan sebuah organisasi baharu di bawah kerajaan negeri  yang memfokuskan kepada usaha pembangunan ekonomi kreatif dan inovasi.

 

Akhirnya, pada awal tahun 2020, tertubuhlah Sabah Creative Economy & Innovation Hub (SCEIH), yang kini dikenali sebagai Sabah Creative Economy & Innovation Centre (SCENIC).

Sabah Creative Economy & Innovation Centre (SCENIC)

Ketika awal penubuhannya, organisasi ini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan & Perindustrian Sabah (MTI), namun kini ia diselia di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi Sabah (KSTI).

 

Organisasi ini memberikan penumpuan gerak kerja dalam pembangunan beberapa bidang, yang mana salah satunya adalah kandungan kreatif  termasuklah dunia animasi.

 

Terbaharu, pada 29 September 2021 yang lalu, SCENIC telah menganjurkan satu acara dalam talian bagi mengumumkan sebuah usaha ikonik yang boleh dilihat sebagai satu daripada pencapaian penting SCENIC sejak ditubuhkan,  khususnya dalam konteks pembangunan kandungan kreatif.

 

Dalam acara tersebut, SCENIC mengumumkan kerjasama bagi pembukaan pusat latihan rasmi Toon Boom Animation yang pertama di Malaysia.

 

Toon Boom merupakan perisian animasi inovatif yang digunakan oleh syarikat animasi ternama seperti Disney, Nickelodeon dan Warner Bros Animation  dan pusat latihan rasmi mereka telah dibuka di pelbagai negara di seluruh dunia.

 

Kerjasama SCENIC dengan Toon Boom ini adalah sebahagian daripada  pelan lima tahun SCENIC di bawah kategori kreatif untuk membangunkan pembangunan bakat dan modal insan dalam bidang kandungan kreatif di Sabah,  sekaligus memperlihatkan keyakinan pemain utama industri ini kepada potensi negeri Sabah.

 

Semua yang saya ceritakan di atas bukan sekadar pengalaman peribadi saya, namun ia merupakan sebahagian daripada catatan pencapaian penting dalam pembangunan industri animasi di Sabah  yang dilihat mula berkembang secara positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Saya secara peribadi sangat optimis melihat potensi Sabah untuk mula menggerakkan animasi sebagai salah satu sektor penyumbang ekonomi kepada negeri dalam masa beberapa tahun ke hadapan.

 

Sekiranya dirangka dan digerakkan secara tersusun, terarah serta mempunyai mekanisme pelaksanaan yang jelas, Sabah mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk menuju ke arah itu.

 

Tidak menafikan potensi untuk membangunkan industri ini melalui penghasilan harta intelek (IP) tempatan oleh produksi Sabah – saya suka juga untuk meneroka potensi bagi memposisikan wilayah ini sebagai pusat penyumberluaran perkhidmatan animasi kepada pasaran serantau – termasuk pelanggan dari Semenanjung Malaysia.

 

Dalam penulisan terdahulu, saya pernah memetik tentang kisah kejayaan Indonesia membangunkan Batam sebagai salah satu pusat penyumberluaran animasi yang semakin mendapat tempat dalam pasaran negara serantau.

 

Batam yang dahulunya adalah wilayah yang kurang membangun kini semakin dikenali sebagai pusat perkhidmatan animasi (serta kandungan kreatif lain) yang berkualiti dengan kadar harga yang kompetatif.

 

Ini ditambah lagi oleh faktor kos tenaga mahir yang lebih rendah berbanding negara jiran yang lain, terutamanya Malaysia dan Singapura.

 

 

kreatif
Studio Infinite milik Singapura yang besar di Batam.

 

Dengan kekayaan bakat yang berpotensi untuk diberi latihan dan dibimbing dalam memenuhi keperluan sumber manusia, Sabah dilihat boleh mengambil pendekatan yang sama seperti Batam.

 

Ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan Sabah yang strategik sebagai jiran kepada kuasa besar animasi di rantau ini iaitu Jepun, Korea Selatan dan China.

 

Faktor jarak yang dekat serta kekerapan penerbangan langsung yang tinggi antara Sabah dengan negara-negara tersebut dilihat mampu dieksploitasi sebaiknya dalam memposisikan Sabah sebagai pusat penyumberluaran kerja-kerja animasi di rantau ini.

 

Segala kemudahan yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG), serta bantuan lain boleh dimanfaat oleh syarikat penyedia perkhidmatan tempatan bagi menggerakkan usaha mendapatkan pelanggan bagi perkhidmatan mereka.

 

Malah, dalam memperkukuhkan pembangunan fasiliti dan teknologi animasi di Sabah, organisasi Invest Sabah yang baru ditubuhkan tahun lalu boleh memainkan peranan dengan meletakkan pelaburan sektor animasi sebagai antara tawaran utama dalam `katalog` mereka kepada pelabur.

 

Semoga segala usaha yang dirangka bagi sektor animasi di Sabah akan dapat dilaksanakan – dalam mempelbagaikan penyumbang ekonomi kepada Sabah, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sektor pelancongan yang telah terjejas teruk akibat pandemik kini. – DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman  merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

KLIK DI SINI UNTUK BACA KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

 

 

 

Portfolio Tags