Serapi Group raikan petugas Hospital Umum Sarawak sempena Hari Jururawat Sedunia | DagangNews Skip to main content

Serapi Group raikan petugas Hospital Umum Sarawak sempena Hari Jururawat Sedunia

Jururawat Hospital Umum Sarawak di Kuching yang diraikan oleh Serapi Group sempena Hari Jururawat Sedunia pada 13 Mei 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUCHING 14 Mei – Pengendali rangkaian penyedia makanan `Juadah Moden Nusantara' di Sarawak, Serapi Group baru-baru ini meraikan petugas di Hospital Umum Sarawak di sini, bersempena sambutan Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei setiap tahun.

 

Pengarah Serapi Cuisine Sdn Bhd, Mohd Fardzren Mohd Azizuddin berkata, tugas dan tanggungjawab seseorang jururawat sangat besar dalam menyediakan khidmat untuk merawat pesakit di hospital.

 

Menurutnya, sumbangan mereka seiring  pentingnya dengan tugasan seorang doktor, lebih-lebih lagi semasa bertarung melawan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

 

‘’Bak kata orang, di mana ada doktor, maka di situ adanya jururawat. Begitu eratnya perkhidmatan kejururawatan dengan kedoktoran dalam urusan merawat dan memberikan perkhidmatan kesihatan awam,’’ ujarnya kepada DagangNews.com di sini.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Sarawak di HUS dengan kerjasama Serapi Group, di sini pada Jumaat.

 

Mohd Fardzren berkata, bagi menghargai warga barisan hadapan bersempena dengan Hari Jururawat sedunia Pihak  Hospital Umum Sarawak dan kerjasama bersama Serapi Care telah menyumbang sebanyak 200 pek makanan dan 200 baucar makanan.

 

‘’Turut disediakan ialah 200 baucar potongan harga penginapan di Serapi Hotel istimewa khas kepada warga kerja barisan hadapan yang telah bertungkus lumus sepanjang pandemik COVID-19,’’ katanya.

 

BERITA BERKAITAN: Meditel lengkapi kemudahan Hospital Umum Sarawak, kini beroperasi sepenuhnya

 

Mohd Fardzren berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada jururawat atas jasa mereka, di masa depan dan terutama semasa wabak ini.

 

‘’Semoga komuniti kita terus memberi penghargaan dan sokongan yang sewajarnya kepada jururawat walaupun di luar wabak ini,’’ kata beliau. – DagangNews.com