Serba Dinamik bangunkan Taman Perindustrian Eko Pengerang (PeIP) | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik bangunkan Taman Perindustrian Eko Pengerang (PeIP)

SHAH ALAM 8 Julai - Serba Dinamik Holdings Berhad mewujudkan Pusat Kecemerlangan Global bagi penyenggaraan, membaiki dan baik pulih (MRO) serta pemeriksaan, membaiki dan penyenggaraan (IRM) yang pertama seumpamanya di Pengerang, Johor.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holings Bhd, Datuk Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, projek itu disokong juga oleh Kampung Pemulihan Kilang atau Plant Turnaround Village (PTV) di situ.

 

Menurut beliau, sebagai pemilik projek dan anchor kepada Taman Perindustrian Eko Pengerang (PeIP), Serba Dinamik telah mereka bentuk pembangunan di situ bagi memenuhi keperluan segmen hiliran minyak dan gas, serta industri penjanaan tenaga.

 

"PeIP adalah sebuah ekosistem prasarana, kemudahan dan penyediaan produk dan perkhidmatan di dalam satu lokasi. Matlamatnya adalah menyediakan pusat sehenti bagi memenuhi keperluan kilang penyenggaraan dan mesin-mesin.

 

"Paling utama, PeIP kami ini terletak strategik iaitu hanya empat kilometer dari Kompleks Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), iaitu projek pembangunan bernilai RM110 bilion.

 

"Singapura pula kira-kira 110 km menggunakan jalan raya dari PeIP. Dengan bertapak di PeIP, syarikat-syarikat boleh mendapatkan perkhidmatan pantas dan cekap untuk RAPID," katanya kepada Berita Harian.

 

Projek PeIP di atas tanah seluas 25 hektar yang dimajukan syarikat Serba Dinamik Holdings Bhd dan Perisind Samudra Sdn Bhd itu membabitkan tiga fasa dengan fasa pertama bernilai RM1 bilion dimulakan pada 2018.

 

Komponen PeIP ini terdiri daripada Pusat Kecemerlangan MRO yang menumpukan kepada peralatan berputar, misalnya turbin gas dan stim, enjin, kompresor, pam dan blowers.

 

Satu lagi ialah Pusat Kecemerlangan IRM Global yang menumpu kepada peralatan statik termasuk peralatan memperoses seperti dandang, vesel tekanan, penukar kolum dan haba, serta struktur seperti tangki simpanan dan sistem paip.

 

PeIP
PEMANDANGAN dari udara tapak projek Taman Perindustrian Eko Pengerang (PeIP) milik Serba Dinamik di Johor.

 

Projek mega berkenaan disifatkan amat berharga dan penting untuk dibangunkan di kawasan itu kerana bukan saja meletakkan Pengerang sebagai lokasi tumpuan pelbagai industri, malah bakal membangunkan tenaga mahir tinggi.

 

Abdul Karim berkata, pembinaan PeIP ini penting kerana bukan hanya akan memberi perkhidmatan sokongan kepada PETRONAS atau mana-mana industri di Pengerang, namun boleh juga memberi khidmat kepada industri di rantau ini.

 

Fasa pertama PeIP membabitkan tiga elemen iaitu pembinaan pusat baik pulih, selenggara, pemeriksaan industri minyak dan pusat latihan kemahiran serta vokasional industri berkaitan yang dijangka siap pada 2020.

 

"Malah, projek ini dapat membantu menjana ekonomi rakyat Johor dalam merancakkan ekonomi dan peluang pekerja.

 

"Kami komited dalam pembangunan projek PeIP ini kerana ia dapat membantu syarikat Bumiputera dalam rantaian industri minyak dan gas," kata beliau.

 

Projek PeIP ini terletak berhampiran Rapid di Pengerang, Kota Tinggi yang mana akan memberi kelebihan kepada Serba Dinamik untuk menempatkan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan marin dan kejuruteraan luar pesisir sepenuhnya. - DagangNews.com