Serba Dinamik dakwa Bursa Malaysia paksa E&Y umum dapatan - mahkamah dimaklumkan | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik dakwa Bursa Malaysia paksa E&Y umum dapatan - mahkamah dimaklumkan

 

KUALA LUMPUR 12 Jan – Serba Dinamik Holdings Berhad mendakwa Bursa Malaysia mahu memaksa Ernst & Young membuat pengumuman terhadap syarikat itu, sedangkan firma itu sendiri enggan mengesahkan sebarang pernyataan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan.

 

‘’Akan timbul persoalan seandainya kemas kini dapatan fakta diumumkan dan soalan-soalan tersebut perlu dijawab oleh Ernst & Young Consulting,’’ kata peguam mewakili Serba Dinamik, Mak Lin Kum dalam hujah penggulungannya.

 

Selain Mak, Serba Dinamik turut diwakili peguam Mohamed Izzul Faris Mohd Ghani, sementara Bursa Malaysia diwakili Datuk Loh Siew Cheang dan perbicaraan diadili Pesuruhjaya Kehakiman Wan Muhammad Amin Wan Yahya.

 

Difahamkan Suruhanjaya Sekuriti turut memiliki peguamnya, Chris Leong sebagai pemerhati di dalam kes saman Bursa terhadap Serba Dinamik yang diadakan secara dalam talian, semalam.

 

Menurut Mak, tuntutan Bursa itu bukan berkaitan sama ada Serba Dinamik telah melanggar sebarang Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama tetapi lebih kepada `kegagalan’ syarikat itu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh bursa.

 

‘’Isunya tertumpu kepada apakah perisytiharaan akan diizinkan oleh mahkamah, sama ada bursa mahukan prestasi khusus Keperluan Penyenaraian dan mengapa bursa kelihatan mahu melaksanakan keperluan penyenaraian yang dibuatnya sendiri.

 

‘’Bursa memaklumi terma-terma pelantikan antara Serba Dinamik dengan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, yang bukan entiti juruaudit yang berdaftar atau diiktiraf oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB),’’ kata peguam syarikat itu.

 

Dalam hal ini, bursa menyatakan juruaudit yang dilantik mengikut Keperluan Penyenaraian No. 2.24 tidak mengkehendaki juruaudit yang serupa dengan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.


 

Serba Dinamik

 


Peguam Serba juga mengemukakan surat bertarikh 26 Oktober 2021 bahawa bursa memperakui terma lantikan oleh Ernst & Young Consulting melarang Serba daripada membuat sebarang pengumuman dan kemas kini dapatan fakta adalah bagi kegunaan dalaman sahaja.

 

Malah, syarat-syarat bahawa Ernst & Young Consulting memanjangkan kemas kini dapatan fakta kepada Bursa dan SC juga adalah untuk perbincangan dalaman.

 

Sebarang penerbitan kemas kini dapatan fakta memerlukan kebenaran Ernst &Young Consulting, tetapi tidak dibuat oleh bursa dan tidak juga dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti.

 

Peguam Mak berhujah bahawa bursa mengetahui Ernst & Young Consulting tidak membenarkan sebarang penggunaan kemas kini dapatan fakta selain untuk kegunaan dalaman.

 

‘’Telah diperjelaskan bahawa Ernst & Young Consulting enggan membuat perakuan sumpah mengenai kebenaran kemas kini dapatan fakta, enggan mengenal pasti penulisnya dan enggan mematuhu paragraf 9.03 dan 9.35A Keperluan Penyenaraian.

 

‘’Sedangkan bursa menegaskan bahawa kemas kini dapatan fakta akan diumum sejajar dengan pematuhan kepada paragraf 9.03 dan 9.35A Keperluan Penyenaraian,’’ kata Mak.

 

Status Ernst & Young Consulting sama ada benar-benar entiti juruaudit sedang dibicarakan di mahkamah lain.


 

Serba Dinamik

 


Menurut Mak, segala masalah ini bermula sekitar 28 Jun 2021 di mana bursa mendakwa melaksanakan kuasanya mengarahkan pelantikan Ernst & Young Consulting dibawah Keperluan Penyenaraian 2.24.

 

Arahan itu dibuat ketika bursa tidak dapat menjelaskan mengapa ia berpendapat keperluan penyenaraian telah dilanggar dan keperluan penyenaraian mana yang telah dilanggar.

 

‘’Jawapan bursa ialah oleh kerana Serba Dinamik sudah menandatangi surat pelantikan Ernst & Young, maka tidak perlu komplen sekarang,’’ kata Mak.

 

Menurut peguam Serba, bursa juga tidak memberikan jawapan yang meyakinkan bahawa terdapat prosedur penyelesaian disiplin lain yang boleh diguna bursa misalnya pengurusan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan salinannya dikemukakan kepada Jawatankuasa Penyenaraian.

 

‘’Tiada sebab munasabah untuk bursa tidak melakukan prosedur tersebut dan mempersoalkan apakah bursa menyembunyikan sesuatu daripada Jawatankuasa Penyenaraiannya sendiri,’’ kata Mak.

 

Mahkamah Tinggi KL menetapkan 27 Januari ini sebagai hari penghakiman. – DagangNews.com