Serba Dinamik hanya pemegang saham minoriti tidak langsung Block 7 | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik hanya pemegang saham minoriti tidak langsung Block 7

SHAH ALAM 21 Jun – Serba Dinamik Holdings Berhad menjelaskan syarikat itu `hanya pemegang saham minoriti tidak langsung’ di dalam syarikat Block 7 Investments LLC yang menganugerahkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu bernilai RM7.7 bilion pada April 2020.

 

Pada 31 Mac lalu, ZonesCorp dan Abu Dhabi Port – satu daripada pengendali terbesar zon ekonomi khas di Abu Dhabi, milik kerajaan bagi membangunkan Projek Hab Inovasi di Kota Industri Abu Dhabi (ICAD), mengumumkan Block 7 telah memeterai perjanjian pajakan tanah berjangka panjang dengan mereka.

 

Serba Dinamik menerusi subsidiari milik penuhnya Serba Dinamik International Ltd (SDIL), meraih kontrak daripada Block 7 bagi kerja-kerja EPC untuk projek had inovasi, kampus akademik, kemudahan berkaitan dan prasarana IT di Abu Dhabi.

 

“Seiring dengan model pemilikan aset strategik, pemilikan Block 7 dipindahkan kepada EFIRE Capital Holdings Ltd. (EDIRE) yang dimiliki oleh LIWA Investment Holding (LIWA).

 

“Struktur pegangan kepentingan tersebut ialah EFIRE sebanyak 49% manakala SDIL sebanyak 51%.

 

“Selesai proses peralihan pemilikan, EFIRE dan LIWA memiliki Block 7 masing-masing dengan pegangan saha 99% dan 1%. Ini menjadi SDIL kini sebagai pemegang saham minoriti tidak langsung di dalam Block 7,” kata sumber kepada DagangNews.com hari ini.

 

Penjelasan ini merujuk kepada laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai urus niaga Serba Dinamik di dalam Block 7 tersebut.

 

“Harus juga diperjelaskan bahawa Block 7 adalah syarikat yang ditubuhkan di Emiriah Arab Bersatu, bukan Amerika Syarikat,” katanya lagi.

 

Difahamkan, projek EPC ini belum bermula dan masih di peringkat konsep reka bentuk pelan induk yang menanti kelulusan pihak berkuasa Abu Dhabi.

 

“Malah segala urus niaga berkaitan proses memuktamad hal berkaitan tapak tanah hanya baharu diselesaikan pada Mac 2021,” katanya lagi. – DagangNews.com