Serba Dinamik jadi sasaran?  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik jadi sasaran? 

Ibu pejabat Serba Dinamik Holdins Bhd. di Shah Alam, Selangor

 


Analisis DagangNews.com

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

Pagi ini saham Serba Dinamik Holdings Bhd terus merosot, hampir 30% kepada 79.5 sen sesaham setelah seminggu berdepan konflik dengan firma audit, KPMG. 

 

Untuk rekod, syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu disenaraikan pada 2017 dan KPMG pula dilantik sebagai audit luar sejak 2013 lagi. 

 

Serba Dinamik yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Program Vendor Petronas memasuki pasaran utama Bursa Malaysia dengan tawaran harga permulaan (IPO) pada RM1.53 sesaham.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah merupakan pemegang saham terbesar Serba Dinamik dengan memiliki 26.93% ekuiti. 

 

 

Mohd Abdul Karim Abdullah
Mohd Abdul Karim Abdullah

 

 

Selain itu, pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib memiliki 15.96%, menjadi pemegang saham kedua terbesar. 

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memiliki 10.15% pegangan diikuti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 5.25%. 

 

Minggu lalu, Serba Dinamik menggantung dagangannya di Bursa Malaysia selama 2 hari sebelum kembali ke papan utama mulai semalam. 

 

Namun, nasib masih belum menyebelahi syarikat ini, apabila sahamnya terus merudum dan boleh dikatakan imejnya agak tercalar. 

 

Mohd. Abdul Karim dalam sidang akhbar maya pada 29 Mei lalu pula menegaskan, 'mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan' meskipun KPMG membangkitkan beberapa isu dalam audit yang dijalankan ke atas tahun kewangan syarikat bagi 2020. 

 


Apa berlaku? 

 

Mari kita imbas semula apa yang terjadi hingga ia dilihat memberi kesan begitu besar kepada Serba Dinamik.

 

Pada pertengahan April lalu, KPMG mula membangkitkan isu berkaitan audit syarikat bagi tahun kewangan 2020 kepada lembaga pengarah bebas.

 

Tetapi, pihak lembaga hanya menyedarinya pada 3 Mei, sebelum syarikat memberi maklum balas pada 6 Mei. 

 

Secara ringkas, perkara yang dibangkitkan KPMG adalah berkaitan dengan pihak yang terlibat dengan Serba Dinamik, transaksi jualan, pemberi pinjaman, inventori dan kontrak.

 

Berdasarkan nota kajian TA Securities semalam, bagaimanapun difahamkan, KPMG secara tiba-tiba menghentikan audit mereka pada 6 Mei tanpa memberi sebarang penjelasan atau maklum balas terhadap kenyataan Serba Dinamik.

 

Mohd. Abdul Karim dalam sidang akhbar itu turut menjelaskan, lembaga pengarah bebas tidak terlibat dalam operasi harian syarikat dan mereka tidak berupaya untuk memberi penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan KPMG. 

 

Ekoran tindakan KPMG yang disifatkan 'tidak adil' dan 'pelik' itu, beliau menyalahkan firma tersebut kerana melengah-lengahkan audit berkanun itu yang mungkin menyebabkan Serba Dinamik terlepas tarikh akhir audit.

 

Pengurusan kumpulan sebelum itu menyasarkan untuk melengkapkan audit akaun bagi tahun kewangan tersebut menjelang September dan menerbitkan laporan tahunannya pada Oktober 2021. Ia juga menyasarkan untuk mengeluarkan keputusan suku tahun kewangan sebelum akhir Jun. 

 

Serba Dinamik dalam makluman di Bursa Malaysia bertarikh 7 Mei, telah menyatakan pertukaran tahun kewangan dari 31 Disember 2020 kepada 31 Jun 2021. 

 

Minggu lalu, Serba Dinamik menyatakan hasratnya untuk mengendalikan semakan khas bebas selepas lembaga pengarah syarikat dimaklumkan oleh KPMG terdapat isu berhubung audit berkanunnya.

 

Dua hari kemudian, pada 28 Mei, Abdul Kadier mengemukakan notis kepada Serba Dinamik untuk menggantikan KPMG dengan BDO PLT.

 

Tindakan luar biasa KPMG

 

Bagaimanapun, menurut TA Securities, Serba Dinamik memberi maklum balas dalam tempoh ditetapkan (iaitu 3 hari daripada permintaan rasmi) untuk menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit. 

 

"Tetapi, sebaliknya, tiada reaksi dari KPMG. Berbanding mendapatkan penjelasan pengurusan, mereka mendekati pihak lembaga pengarah. Ini bagi memohon pelantikan pihak bebas untuk menjalankan semakan khas. 

 

"Dalam keadaan yang normal, langkah ini dilihat menyimpang daripada proses audit yang biasa dijalankan," jelasnya. 

 

Tambahan pula, TA Securities mendapati KPMG sudah menjalankan audit ke atas laporan kewangan Serba Dinamik sejak tahun kewangan 2013 lagi. 

 

KPMG
KPMG secara tiba-tiba menghentikan pelaksanaan audit mereka pada 6 Mei tanpa memberi sebarang penjelasan kepada Serba Dinamik. - Gambar BBC News/Getty Image.

 

 

Ini secara tidak langsung menunjukkan KPMG selama ini sudah menjalankan proses usaha wajar ke atas pelanggan utama Serba Dinamik dan vendornya.

 

"Kami difahamkan oleh pihak pengurusan, perkara itu sebahagian besar masih kekal sama, terutama sejak akhir-akhir ini, termasuklah pelanggan dari Bahrain yang dibangkitkan oleh KPMG dalam auditnya.

 

"Oleh itu, kami agak keliru dengan tindakan luar biasa KPMG dan kami percaya ia menyebabkan kecelaruan kepada pelabur," katanya. 

 

Malah, penganalisis firma penyelidikan ini juga percaya pasaran akan memberi reaksi negatif terhadap cadangan Serba Dinamik untuk menggantikan KPMG dengan juruaudit lain.

 

Langkah itu juga mungkin akan menyebabkan proses audit berjalan lebih lambat kerana juruaudit baharu perlu menyemak semula kewangan Serba Dinamik sebelum itu selain tahun kewangan 2020.

 

"Apatah lagi, ini akan menyebabkan kehilangan pemegang saham berikutan penjelasan KPMG. Ini kerana juruaudit juga berada ketika mesyuarat agung tahunan untuk mengutarakan pertanyaan pemegang saham," jelasnya.

 

Dalam nota kajian bertarikh 27 Mei lalu, TA Securities difahamkan oleh pengurusan bahawa sebahagian daripada proses audit tahunan (bermula Oktober 2020), KPMG memohon kepada Serba Dinamik jaminan ke atas faktor risiko. 

 

Perkara itu dikenal pasti lebih awal pada April 2020 dan dikemukakan secara rasmi kepada Serba Dinamik pada awal Mei 2020.

 

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan operasi dan logistik yang terhad bagi perniagaan global Serba Dinamik yang merentasi 20 buah negara sekali gus memberi cabaran besar untuk melengkapkan laporan kewangan syarikat.

 

Sehubungan itu, pihak pengurusan dan KPMG memerlukan tempoh lanjutan bagi melengkapkan audit ini dalam jangka masa bersesuaian. Sebagai ganti dan bagi mempercepatkan proses ini, pengurusan membuat keputusan untuk melibatkan firma luar bagi membantu KPMG. 

 

Dalam masa sama, Serba Dinamik juga menukar tahun kewangannya supaya dapat memberi tempoh lebih lama sebelum laporan itu dapat dilengkapkan pada masanya.

 

Memandangkan audit yang dijalankan adalah di luar skop KPMG ke atas audit berkanun, justeru, pengurusan perlu melantik penyemak luar.

 

Untuk itu, pihak pengurusan telah memberi jaminan, mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai penipuan, rasuah atau pecah amanah serta menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan ketika menjalankan perniagaan.  

 

Pemain global

 

Secara dasarnya, 'pertelingkahan' kedua-dua pihak ini belum lagi menemui titik noktah. 

 

Apatah lagi KPMG dilihat 'sepatutnya' lebih arif dengan perniagaan Serba Dinamik kerana telah bersama syarikat itu sejak 8 tahun lalu.

 

Untuk menyalahkan Serba Dinamik sepenuhnya juga bukan satu tindakan yang betul. 

 

Mohd. Abdul Karim juga telah memberitahu sebelum ini, mereka tidak menukar sebarang struktur perniagaan sejak disenaraikan dan telah lama bekerjasama dengan KPMG.

 

Dalam masa sama, beberapa pemegang saham juga telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan KPMG sebagai juruaudit Serba Dinamik kerana firma audit tersebut terlibat dalam kegagalan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Sebagai syarikat bumiputera yang mampu meletakkan diri dalam kalangan pemain global industri minyak dan gas, Serba Dinamik kini berdepan cabaran yang sukar. 

 

space
Serba Dinamik bercadang menubuhkan sebuah anak syarikat baharu pada suku ketiga tahun ini untuk menceburi industri angkasa.

 

 

Mohd. Abdul Karim sendiri mempunyai cita-cita yang besar untuk meneroka bidang ekonomi angkasa menerusi kerjasama Serba Dinamik dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

 

Selain itu, Serba Dinamik turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SWISSto12, syarikat yang berpangkalan di Switzerland dan pakar dalam teknologi untuk menghasilkan komponen yang digunakan dalam satelit melalui teknologi percetakan 3D. 

 

Ini menunjukkan betapa seriusnya kumpulan untuk melangkah dalam bidang tersebut sekali gus dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

Berdasarkan laporan kewangan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, untung bersih Serba Dinamik meningkat kepada RM202.5 juta berbanding RM140.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan juga meningkat kepada RM1.82 bilion bagi tempoh itu berbanding RM1.36 bilion tahun lalu.

 

Ketika mengakhiri dagangan tengah hari ini, saham Serba Dinamik susut 21.24% kepada 89 sen. 

 

S&P Global Ratings menyemak turun penarafan kredit Serba Dinamik kepada 'B-' daripada 'B+' dan meletakkannya pada tahap kredit negatif berikutan meningkatnya risiko pembiayaan semula.

 

Agensi penarafan itu percaya pengumuman Serba Dinamik untuk menjalankan semakan khas bebas bagi menyelesaikan masalah audit akan merumitkan usaha syarikat untuk membiayai semula hutang hampir RM1.7 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang. - DagangNews.com

 

logo