Serba Dinamik lesap RM3.15 bilion minggu lalu | Dagang News Skip to main content

Serba Dinamik lesap RM3.15 bilion minggu lalu

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PENGANALISIS pasaran meramalkan kedudukan saham Serba Dinamik Holdings Berhad bila pasaran dibuka Selasa ini, bakal menyaksikan penyusutan lagi ketika penyelesaian mutlak masih samar-samar.

 

Pada 4 Jun lalu, semasa Bursa Malaysia ditutup, saham Serba Dinamik susut 7 sen atau 8.4% kepada 76.5 sen, walaupun pada sebelah pagi ia mencapai paras 85 sen.

 

Sahan-saham tersebut yang terjejas akibat isu yang menyelubungi syarikat, didagang secara aktif dengan sejumlah 425.4 juta saham bertukar tangan, menjadikannya kaunter kedua paling tinggi dagangan di bursa.

 

Secara keseluruhan seminggu lalu, saham Serba Dinamik menjunam sebanyak 52.5% atau 84.5 sen kepada 76.5 sen sesaham daripada harga asal RM1.61 sesaham.

 

Semua kesusahan ini bermula dengan isu ke atas akaun kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 (FY20) yang dibangkitkan oleh KPMG Plt. Dengan harga saham hanya 76.6 sen minggu lalu, permodalan pasaran syarikat  ini menyusut kepada RM2.85 bilion, berbanding RM6 bilion sebelum isu audit ini meletup.

 

Kebimbangan pelabur itu difahami kerana apa sahaja yang dibangkitkan oleh firma audit adalah sesuatu yang harus diambil perhatian berat, dan dalam konteks Serba Dinamik, isu yang tercetus membabitkan projek bernilai lebih RM4 bilion bagi FY20.

 

Susulan itu, Serba Dinamik mengumumkan syarikat mahu mengadakan kajian bebas semula ke atas dapatan KPMG itu dengan pemegang saham kedua terbesar syarikat, Datuk Abdul Kadier Sahib mengeluarkan notis kepada pengurusan supaya diadakan mesyuarat pemegang saham untuk memecat KPMG.

 

Namun, cadangan tersebut tidak diterima baik oleh para pelabur, menyatakan kebenaran sebenar tidak akan diketahui kelak.

 

Dalam pemberitahuan mengejut pada Khamis malam, Abdul Kadier yang juga menganggotai Jawatankuasa Audit dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, menarik balik notis tersebut.

 

Ini susulan PNB dan KWAP melahirkan kebimbangan mereka mengenai aspek tadbir urus Serba Dinamik.

 

Pelabur institusi

Pada 2 Jun lalu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP melepaskan kedudukannya sebagai pemegang saham utama sebanyak 26.03 juta atau 0.7% di dalam Serba Dinamik, dan kini sahamnya hanya berjumlah 4.53%.

 

KWAP adalah pelabur institusi pertama menjual saham syarikat sejak isu KPMG tersebut timbul.

 

Pelabur institusi lain di dalam Serba Dinamik ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang memiliki 10.18% disusuli Amanah Saham Nasional Bhd, unit di dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Semasa saham syarikat terus menyusut, Abdul Kadier bersama pemegang saham terbesar Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, membeli saham syarikat sekali gus meningkatkan pegangan masing-masing kepada 16.17% dan 27.07%.

 

Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 

Buat masa ini, KPMG kekal firma audit bagi Serba Dinamik. Apa sebenarnya masalah ini? Persoalan maha penting sekarang, apakah akan ada penyelesaiannya? Bagaimana Serba Dinamik boleh bersihkan reputasinya yang terjejas sekarang?

 

Serba Dinamik sifar skandal

Secara ringkasnya, Serba Dinamik telah tumbuh daripada syarikat minyak dan gas bermula di Bintulu, Sarawak di bawah bimbingan Petronas sebelum mengorak langkah menjadi pemain global sekarang.

 

Sekian lama, tidak pernah didengar terpalit dengan isu politik atau skandal berkaitan apa-apa, lebih-lebih lagi peneraju Serba Dinamik diketahui tidak ghairah untuk bergambar bersama ahli politik atau mencari populariti murahan.

 

Spekulasi pasaran ada mengaitkan kemungkinan isu KPMG dan Serba Dinamik ada kaitan usaha di belakang tabir untuk mengalih perhatian umum daripada skandal 1MDB, tetapi itu tetap spekulasi dalam kalangan pelabur semata-mata buat masa ini.

 

Hari ini, Serba Dinamik memiliki operasi di 20 negara dengan tenaga kerja kira-kira 1,766 orang di seluruh segmen operasi dan projek mega yang menyaksikan limpahan perniagaan kepada vendor dan pembekal sebanyak 770 syarikat.

 

Abdul Karim yang merupakan anak jati Miri, Sarawak semasa sidang media menjelaskan syarikatnya itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disorokkan.

 

Malah difahamkan, pengurusan Serba Dinamik pantas menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh KPMG pada 3 Mei lalu, dalam kira-kira 3 hari sahaja.

 

Fakta sebenarnya sekarang, KPMG yang tidak datang balik kepada Serba Dinamik, atau menyatakan sebarang tarikh akhir untuk memuktamadkan audit mereka.

 

merrepak

 

Faktor COVID-19

Namun untuk adil kepada semua pihak, kedua-dua KPMG dan Serba Dinamik berdepan dengan kesulitan untuk menyiapkan proses audit disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan lebih ketat sekarang dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.

 

KPMG dikatakan tidak dapat melaksanakan prosedur audit yang teratur bagi mendapatkan bukti audit yang secukupnya. Kajian semula diperlukan walaupun ia juga disentuh oleh pengurusan syarikat.

 

TERKINI 8 JUN 2021 : SAHAM SERBA DINAMIK TERUS MENYUSUT PAGI INI

 

PKP juga menjadi penyebab kepada perubahan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2021, satu langkah yang memberikan Serba Dinamik ruang bernafas bagi memuktamadkan penyata kewangan serta membantu lebih baik lagi perancangan audit serta peruntukan sumber-sumber bagi menguruskan tempoh kemuncak laporan kewangan.

 

Atas faktor di atas, saranan syarikat untuk melantik auditor bebas pihak ketiga akan membantu kajian semula khas bagi menilai ketepatan dan kebenaran isu-isu berbangkit.

 

Adalah jelas langkah segera yang perlu dilakukan oleh Serba Dinamik ialah kerap mengadakan komunikasi dengan keempat-empat pelabur institusi terbesarnya bagi mengelak penjualan saham dalam minggu-minggu mendatang. - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Hikayat Penuh Ranjau oleh Wings berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.