Serba Dinamik mohon Hakim Mahkamah Tinggi tarik diri dengar kes saman bursa | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik mohon Hakim Mahkamah Tinggi tarik diri dengar kes saman bursa

 

SHAH ALAM 9 Dis – Serba Dinamik Holdings Berhad memohon kepada mahkamah untuk suatu perintah supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menarik diri daripada mendengar kes saman Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas global itu terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Dalam permohonannya kepada Mahkamah Tinggi pada 8 Disember, Serba Dinamik menyatakan kebimbangan terhadap latar belakang Ahmad Fairuz yang pernah menjadi pegawai kedua tertinggi di dalam SC iaitu Timbalan Ketua Eksekutif, tidak dapat melaksanakan tugas dengan adil dan saksama.

 

Ahmad Fairuz menyertai suruhanjaya itu pada 2012 sebagai Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Eksekutif pada 2016.

 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 30 Mac 2018 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 25 Mac 2020.

 

Peguam mewakili syarikat, Mak Lin Kum berkata, terdapat `bahaya sebenar berlaku berat sebelah', memandangkan fakta bahawa Serba Dinamik sedang dalam mengambil tindakan perundangan terhadap Bursa Malaysia dan Ernst & Young, malah hakikat bahawa wakil SC hadir sebagai pemerhati rasmi di dalam kedua-dua kes, adalah wajar Datuk Ahmad Fairuz menarik diri daripada mendengar kes.

 

‘’Ini kerana sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz merupakan eksekutif kedua tertinggi di dalam SC.

 

‘’Tentunya pengurusan kanan sedia ada SC merupakan bekas rakan setugas beliau dan memiliki hubungan peribadi dengan mereka,’’ menurut syarikat tersebut.


Hakim Ahmad Fairuz dijangka membuat keputusan terhadap permohonan itu pada hari ini.

 

serbadinamik

 


Pada 3 November lalu, Serba Dinamik memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia Securities Berhad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan ia bertindak `melampaui’ bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat tersebut.

 

Pada 5 November, Serba Dinamik memfailkan pula saman terhadap firma E&Y dengan menuntut perisytiharaan mahkamah bahawa firma audit itu bukan suatu `juruaudit’ seperti di dalam maksud Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR).

 

Tindakan nekad dan berani Serba Dinamik adalah rentetan daripada laporan firma audit KPMG yang membangkitkan beberapa perkara di dalam audit penyata kewangan syarikat.

 

Serba Dinamik telah memfailkan saman terhadap KPMG pada 22 Jun lalu, atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkan syarikat menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.

 

Kemelut yang menimpa Serba Dinamik yang memiliki perniagaan dan pelaburan di seluruh negara, menjadi semakin kusut berikutan tindakan Bursa Malaysia menggantung dagangan saham pada 22 Oktober lalu. – DagangNews.com