Skip to main content

Serba Dinamik optimis mampu pulih kerana miliki model perniagaan teguh

SHAH ALAM 27 Jan – Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah optimis Serba Dinamik Holdings Berhad mampu melakukan pemulihan seperti ditetapkan oleh Bursa Malaysia kerana syarikat penyedia perkhidmatan minyak bersepadu itu memiliki model perniagaan yang teguh.

 

Bercakap kepada media buat pertama kali sejak Serba Dinamik diklasifikasi sebagai syarikat bermasalah atau PN17 awal bulan ini, Abdul Karim berkata, ia boleh dilaksanakan, cuma tempoh masa perlu dilanjutkan lagi disebabkan keperluan ketat Bursa Malaysia.

 

‘’Namun akhirannya nanti, Serba Dinamik akan mengekalkan operasi perniagaan minyak dan gas sebagai perniagaan teras syarikat,’’ menurut Abdul Karim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)/Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik, laporan FocusM.

 

Abdul Karim berkata, Serba Dinamik bakal mengumumkan pelan regularisasi dengan pelantikan penasihat interima semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat pada Isnin ini.

 

Serba Dinamik dijadualkan mengadakan AGM kelima syarikat itu secara maya pada 31 Januari ini.

 

Pada 6 Januari lalu, syarikat ini diklasifikasi PN17 apabila juruaudit luarnya, Messrs. Nexia SSY PLT, sudah menyatakan laporan tanpa memberikan pandangan dalam penyata kewangan diaudit syarikat itu bagi tahun kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021 yang diumumkan berkenaan.

 

Dalam konteks ini, Abdul Karim meminta para pelabur agar memberi peluang kepada syarikat bagi menjelaskan kedudukan syarikat, khususnya dalam hal PN17.

 

 Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
                             Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 

Merujuk kepada AirAsia Group Bhd yang juga turut terjerumus ke dalam PN17, Abdul Karim berkata, PN17 berlaku atas beberapa faktor, maka itu tidak bermakna sesebuah syarikat PN17 akan gulung tikar atau tidak mampu memulihkan syarikat.

 

“Dalam kes Serba Dinamik, klasifikasi ini adalah disebabkan syarikat tidak menjelaskan kegagalan pembayaran.

 

‘’Bila dianalisis, sebuah syarikat di dalam suatu industri yang memerlukan perbelanjaan modal (capex) tinggi dan kos operasi (opex) tinggi memang terdedah kepada kegagalan pembayaran terhadap bon-bon mereka.

 

‘’Contoh paling terdekat ialah MEX 2 Sdn Bhd yang gagal menjelaskan pembayaran kupon ke atas bon Islam bernilai RM1.3 bilion,” ujar beliau.

 

serbadinamik

 

Menurut Bursa Malaysia, sehingga kini terdapat 24 syarikat tersenarai di bawah PN17 dan GN3 yang mewakili 2.65% daripada keseluruhan 905 syarikat tersenarai di Papan Utama dan ACE Bursa Malaysia.

 

Saham Dinamik masih digantung oleh bursa dan kali terakhir didagangkan pada 22 Oktober 2021 pada paras 35 sen, menjadikan modal pasaran syarikat berada di paras RM1.3 bilion. – DagangNews.com