Serba Dinamik perjelas isu tukar juruaudit | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik perjelas isu tukar juruaudit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 1 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad menjelaskan cadangan menggantikan KPMG PLT sebagai audit luar dengan BDO PLT dibuat oleh pemegang saham utamanya, Datuk Abdul Kadier Sahib dan bukan dimulakan menerusi pihak syarikat mahupun Lembaga Pengarah.

 

Syarikat itu merujuk kepada beberapa laporan media mengenai cadangan tersebut seperti diumumkan di Bursa Malaysia, 28 Mei lalu.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Serba Dinamik berkata, cadangan itu dikeluarkan oleh Abdul Kadier Sahib yang juga merupakan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

 

"Kami menyedari terdapat beberapa artikel yang diterbitkan menyatakan Lembaga Pengarah memohon supaya KPMG dikeluarkan sebagai juruaudit, yang mungkin telah ditafsirkan di luar konteks. 

 

"Oleh itu, kami ingin memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah, dalam keadaan apa sekali pun, tidak terhad untuk membincangkan mengenai prestasi juruaudit pada bila-bila masa dan mungkin mencadangkan pemecatan juruaudit," jelasnya.

 

Abdul Kadier memiliki 15.96% ekuiti dan merupakan pemegang saham kedua terbesar Serba Dinamik.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah merupakan pemegang saham terbesar Serba Dinamik dengan memiliki 26.93% ekuiti. 

 

Menurut Serba Dinamik, sebagai tambahan kepada perkara di atas, undang-undang yang termaktub di bawah Akta Syarikat 2016 (CA2016) hanya membenarkan pemegang saham yang memiliki lebih 10% ekuiti sama ada secara individu atau terkumpul, untuk memulakan gerakan menyingkirkan juruaudit sedia ada dan memberi cadangan juruaudit baharu.

 

"Bagaimanapun, di bawah undang-undang yang sama, Lembaga Pengarah dibenarkan bertindak dengan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), atas permintaan pemegang saham tersebut melalui terbitan Nota Khas kepada Lembaga Pengarah.

 

"Ini kemudiannya membolehkan ia membuat keputusan untuk mengundi atau menentang usul yang dibawa ke EGM oleh pemegang saham," jelas syarikat berkenaan. 

 

Dalam pada itu, Serba Dinamik memberitahu, pelantikan firma bebas akan tetap berjalan seperti dirancang bagi tujuan memulakan semakan khas bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara-perkara berhubung audit berkanun yang dibangkitkan juruaudit luaran. 

 

Syarikat itu menegaskan, Lembaga Pengarah komited untuk memastikan pemegang saham akan diberikan maklumat mencukupi supaya dapat membuat keputusan yang tepat berkaitan cadangan menamatkan perkhidmatan juruaudit luar pada EGM yang akan diadakan. 

 

Petang ini, ketika ditutup saham Serba Dinamik merosot 26.11% kepada 83.5 sen sesaham dengan pasaran modal bernilai RM5.97 bilion. - DagangNews.com