Servis dalam talian baharu MyEG dijangka raih hasil RM60 juta setahun | DagangNews Skip to main content

Servis dalam talian baharu MyEG dijangka raih hasil RM60 juta setahun

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Perkhidmatan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan motosikal dalam talian yang diperkenalkan MyEG Services Berhad (MyEG) dijangka mampu menawarkan hasil RM30 juta hingga RM60 juta setahun.

Perolehan itu dibuat oleh CGS-CIMB Research berdasarkan syer pasaran pembaharuan cukai jalan motosikal sebanyak 20%.

“Berdasarkan data oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat 14.3 juta motosikal yang berdaftar di negara ini setakat Disember 2019. Bagaimanapun, MyEG menjangkakan JPJ memproses kira-kira 10 juta pembaharuan cukai jalan motosikal pada setiap tahun.

“Dengan anggaran bahawa MyEG memperoleh sebanyak 10% hingga 20% syer pasaran pengguna bagi perkhidmatannya, termasuk pembaharuan cukai jalan dalam talian, insurans dan yuran penghantaran, pada kadar pendapatan purata bagi setiap pengguna (ARPU) RM30, MyEG mampu menjana hasil sebanyak RM30 juta hingga RM60 juta setahun,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

MyEG memperkenalkan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan motosikal dan lesen memandu masing-masing bermula 9 dan 16 Oktober depan. 

“Perkembangan itu tidak mengejutkan memandangkan MyEG sebelum ini telah mendedahkan bahawa pihaknya sedang meneroka perkhidmatan dalam talian baharu, memanfaatkan pelan kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan perkhidmatan e-kerajaan, terutama ketika pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, MyEG dijangka meraih hasil sedikit bagi pembaharuan lesen memandu ekoran kekerapan pembaharuan yang rendah, di mana pengguna boleh memperbaharui sehingga tempoh lima tahun.

“MyEG hanya mampu memperoleh yuran pembaharuan berdasarkan kekerapan jumlah transaksi,” tambah CGS-CIMB. 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham MyEG dengan sasaran harga lebih tinggi sebanyak RM1.96.

“Kami meningkatkan perolehan sesaham (EPS) MyEG bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022 sebanyak 6% hingga 8% berdasarkan jangkaan perolehan perkhidmatan baharu itu,” ujar CGS-CIMB. - DagangNews.com