Setel, Siti Khadijah sumbang telekung RM100,000 kepada 98 rumah anak yatim, ibu tunggal | DagangNews Skip to main content

Setel, Siti Khadijah sumbang telekung RM100,000 kepada 98 rumah anak yatim, ibu tunggal

Mohammad Munzir Aminuddin (dua dari kiri) dan Faizal Sulaiman ketika penyerahan telekung di Pertubuhan Pusat Jagaan Limpahan Kasih.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Setel dan Siti Khadijah menyempurnakan inisiatif bersama mereka iaitu Setulus Kasih dengan menyumbang telekung bernilai RM100,000 kepada 98 buah rumah anak yatim dan kebajikan buat golongan wanita, ibu tunggal serta kanak-kanak yang memerlukan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel Express, Faizal Sulaiman berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengambil bahagian dalam usaha sama antara Setel dan Siti Khadijah untuk berkongsi keihsanan dengan anggota masyarakat yang kurang bernasib baik. 

 

"Bersama Setel Express sebagai rakan penghantaran, kami dapat memperlihatkan kualiti perkhidmatan kami dengan cara yang begitu bermakna, yakni dengan menyebarkan keceriaan kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan ini di serata negara. 

 

"Harapan kami adalah untuk membekalkan khidmat penghantaran yang lancar lagi diyakini buat para pelanggan kami di seluruh negara sebagai komponen dalam tawaran ekosistem Setel buat rakan-rakan peniaga kami serta pengguna akhir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin pula berkata, kolaborasi yang dijalin dengan Setel memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi keihsanan kepada golongan yang memerlukan. 

 

"Penghantaran telekung kami yang dibuat secara efisien melalui Setel Express ke empat buah rumah kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuktikan kualiti perkhidmatan mereka, yang kami percaya turut memberi kepuasan kepada para pelanggan Siti Khadijah," katanya.

 

 

setel

 

 

setel

 

 

setel

 

 

Empat buah rumah dan organisasi kebajikan utama yang dipilih sebagai benefisiari inisiatif Setulus Kasih ialah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al Hijrah, Kompleks Darul Kifayah, serta Yayasan Kebajikan Muslim (juga dikenali sebagai MyFundAction) yang menguruskan 95 buah rumah kebajikan di bawah organisasinya. - DagangNews.com