Skip to main content

Setia Bintang ‘buka jalan’ hala tuju plastik kitar semula Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Syarikat pembinaan dan kejuruteraan, Setia Bintang Engineering Sdn. Bhd. (Setia Bintang) tekad untuk memacu hala tuju penggunaan sisa plastik di Malaysia yang dapat mengurangkan ribuan tan plastik daripada pusat pelupusan dan menghindari pencemaran laut serta sungai.

 

Ini dapat dilaksanakan menerusi teknologi plastic binder extender (PBE) yang dibangunkan oleh MacRebur, sebuah syarikat di Scotland.

 

Setia Bintang dilantik sebagai pengedar eksklusif MacRebur di Malaysia, dan pelancaran teknologi itu telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sebuah acara maya hari ini.

 

"Sisa plastik dan yang tidak boleh dikitar semula dapat digunakan untuk menghasilkan asfalt yang diubahsuai dan berprestasi tinggi untuk membuka jalan dengan menggunakan teknologi PBE,“ kata Fadillah.

 

Teknologi itu dibangunkan untuk membantu menyelesaikan isu sisa plastik global.

 

Selain Malaysia, lantikan Setia Bintang sebagai pengedar eksklusif diperluas ke Thailand dan Indonesia.

 

Pengarah Eksekutif Setia Bintang, Izran Al-Amin berkata, pihaknya akan menggunakan sisa plastik yang biasanya dibuang di pelupusan sampah atau penunu.

 

“PBE MacRebur melanjutkan kitaran hayat asfalt melebihi penggunaan konvensional.

 

"Kejadian seperti pembentukan lubang (pothole) boleh dikurangkan dan proses pencampuran, peletakan, penggulungan, dan pemadatan tetap sama dengan kaedah konvensional, " kata Izran.

 

Satu tan asfalt PBE MacRebur menggunakan 80,000 botol plastik atau 740,541 beg plastik sekali pakai.

 

Pada bulan Oktober 2020, Setia Bintang membuat ujian perintis sepanjang 117 meter dengan PBE MacRebur, yang menggunakan 810kg sampah plastik.

 

Bagi menjayakan hasrat syarikat itu, Setia Bintang akan bekerjasama dengan syarikat konsesi sisa pepejal untuk memastikan bekalan plastik sisa secara berkala. – DagangNews.com