Shahril Ridza dilantik sebagai Pengerusi IWH berkuat kuasa 18 Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Shahril Ridza dilantik sebagai Pengerusi IWH berkuat kuasa 18 Mei 2022

KUALA LUMPUR 18 Mei - Iskandar Waterfront Holdings Bhd (IWH) mengumumkan pelantikan Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

 

Naib Pengerusi Eksekutif IWH yang juga pemegang saham terbesar, Tan Sri Lim Kang Hoo berkata, Shahril Ridza amat sesuai untuk mengisi peranan sebagai pengerusi lembaga syarikat itu.

 

"IWH berharap dapat memanfaatkan pengalaman beliau yang luas di dalam pelbagai sektor ke dalam syarikat itu.

 

"Dengan pengumuman oleh kerajaan Malaysia dan Singapura yang bersetuju mengenai pelaksanaan projek RTS Link, IWH dijangka mendapat manfaat daripada semua projek dan pembangunan yang akan datang di Johor," katanya dalam satu kenyataan.

 

Shahril Ridza sebelum memegang pelbagai jawatan penting dalam beberapa organisasi termasuk ketua pegawai eksekutif di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula April 2013 hingga Ogos 2018.

 

Selain itu beliau juga pernah menyandang jawatan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad bermula Ogos 2018 hingga Ogos 2021 dan Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

 

Beliau kini adalah Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Axiata Group Berhad serta Pengarah Bukan Eksekutif Malaysia Airlines Berhad dan Malaysia Aviation Group Berhad.

 

IWH, sebuah perkongsian awam-swasta membabitkan negeri Johor, kerajaan persekutuan dan pelabur tempatan, adalah pemaju induk kira-kira 1,902 hektar tanah tepi laut di bahagian timur, tengah dan barat Tambak Johor. - DagangNews.com