Skip to main content

Shinjiru edar Kit Asas COVID-19 kepada petugas media

Kit Asas COVID-19 Shinjiru

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Syarikat penyedia perkhidmatan web, Shinjiru Technology Sdn. Bhd. (Shinjiru) mengedarkan Kit Asas COVID-19 kepada petugas media dalam usaha mengurangkan risiko penularan wabak dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Pengarah Jualannya, Wani Shaari berkata, langkah-langkah pencegahan masih perlu dititikberatkan khususnya dalam kalangan petugas media kerana sering terdedah kepada risiko jangkitan.

"Shinjiru mengunjungi rakan media dengan menyerahkan Kit Asas COVID-19 yang mengandungi pelitup muka, cecair pensanitasi, dan sabun kertas yang boleh dibawa ke mana-mana.

Antara kelengkapan yang disediakan dalam Kit Asas COVID-19 yang diedarkan.
Antara kelengkapan yang terdapat dalam Kit Asas COVID-19.

 

"Petugas media sering terdedah kepada jangkitan wabak kerana tugas harian mereka melibatkan pergaulan dan interaksi bersama masyarakat umum di kawasan sesak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi, Shaun Lim memberitahu, inisiatif Shinjiru ditumpukan sepenuhnya kepada media kerana golongan tersebut penting untuk melaporkan maklumat semasa mengenai wabak.

"Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak organisasi media dalam usaha mengingatkan orang ramai tentang risiko jangkitan yang masih ada dalam kalangan masyarakat setempat," tambahnya.

Sesi penyerahan Kit Asas COVID-19 kepada Oriental Daily News
Sesi penyerahan Kit Asas COVID-19 kepada Oriental Daily News.

 

Shinjiru telah menyampaikan Kit Asas COVID-19 kepada Kumpulan Sinar Harian dan Oriental Daily News.

Penyerahan kepada Kumpulan Sinar Harian diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin di Shah Alam.

Manakala penyerahan kepada Oriental Daily News pula diterima oleh Timbalan Ketua Pengarang Oriental Daily News, Yung Chea Ling di Wisma Dang Wangi, Jumaat lalu.

Shinjiru turut mengalu-alukan sebarang cadangan dan usahasama daripada pelbagai agensi media dalam menjayakan lagi usaha berkenaan. - DagangNews.com