Shop Malaysia Online di Shopee kembali untuk tahun kedua | DagangNews Skip to main content

Shop Malaysia Online di Shopee kembali untuk tahun kedua

 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kempen Shop Malaysia Online (SMO) di Shopee kembali untuk tahun kedua bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia melalui baucar diskaun, pulangan tunai dan subsidi penghantaran percuma yang akan membantu dalam pengurusan kos sara hidup. 

 

Pada tahun lalu, kempen Ringgit-ke-Ringgit di Shopee ini telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta pembeli, menjana jualan bernilai lebih daripada RM540 juta untuk 80,000 penjual Malaysia di platform e-dagang tersebut.

 

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, kempen tersebut telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta rakyat Malaysia yang menggunakan baucar untuk menambah baik kesihatan serta menaik taraf rumah mereka, dan juga membeli barangan keperluan harian untuk rumah tangga masing-masing. 

 

"Kempen ini telah melahirkan pembeli atas talian baharu yang secara puratanya telah membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen ini, walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa itu telah dilonggarkan. 

 

"Data ini menunjukkan bahawa selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, inisiatif ini telah berjaya memacu digitalisasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Ian Ho
Ian Ho

 

 

SMO adalah sebuah inisiatif e-dagang oleh Kementerian Kewangan danPerbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk memacu kempen ini mulai sekarang hingga 31 Disember 2021.

 

Ho menambah, Shopee berasa gembira dapat bersama membiayai kempen ini sekali lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. 

 

“Fokus utama kami dari segi perniagaan adalah untuk memperkasakan komuniti dan penjual tempatan melalui pendekatan penyetempatan hiper atau hyper localised dan membolehkan e-dagang untuk dinikmati oleh semua. 

 

"Oleh itu, program seperti SMO adalah selaras dengan misi kami dan kami akan memberi komitmen dalam Ringgit dan Sen," katanya.

 

Matlamat jangka pendek bagi SMO adalah untuk memacu penggunaan domestik manakala bjektif jangka panjang SMO pula adalah untuk membawa lebih ramai pengguna ke atas talian dan menggalakkan para pembeli agar membuat pilihan untuk menyokong penjual tempatan. 

 

Demi membantu pihak kerajaan mencapai objektif-objektif ini, Shopee akan mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi kempen SMO tahun ini.

 

Pertama, Shopee akan memberi ganjaran menarik dalam bentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syliling Shopee dan subsidi penghantaran percuma untuk pengguna Malaysia apabila mereka menyokong dan membeli daripada penjual tempatan yang memiliki label 'ShopMalaysia'.

 

Kedua, Shopee akan berusaha untuk menarik pelanggan dan menjana aliran tunai kembali kepada peruncit luar talian seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka, farmasi dan banyak lagi melalui pulangan tunai dan diskaun sebanyak lebih daripada RM3. 

 

Ini boleh didapati di portal dalam aplikasi 'Deals Near Me' apabila para pengguna membeli Baucar ShopeePay serendah 1 sen dan menebusnya dengan ShopeePay.

 

Ketiga, SMO bagi tahun ini juga melibatkan sokongan tambahan kepada penjual tempatan untuk mengeksport barangan mereka dan menembusi pasaran baharu. 

 

Shopee akan melaksanakan usaha ini menerusi Shopee International Platform (SIP), sebuah inisiatif rentas sempadan hujung ke hujung yang merangkumi logistik, pembayaran serta perkhidmatan pelanggan untuk penjual tempatan tanpa kos tambahan. 

 

Bagi jenama dan penjual Malaysia yang telah pun berjaya menembusi pasaran luar negara melalui SIP, platform e-dagang tersebut akan menawarkan manfaat istimewa seperti baucar diskaun, baucar pulangan tunai Syiling Shopee dan rebat penghantaran percuma untuk pelanggan mereka.

 

Mengenai program eksport Shopee, Ho berkata, ramai peruncit dan peniaga kecil di Malaysia telah menerima manfaat daripada kempen-kempen bertema yang dijalankan oleh Shopee di luar negara. 

 

Katanya, produk-produk halal Malaysia, kopi dan juga alat ganti automotif amat popular di luar negara. 

 

Selain itu, jenama-jenama tempatan seperti Kluang Coffee, Elianware dan Fipper juga berjaya menarik minat warganegara Singapura melalui SIP. 

 

"Oleh itu, kami berasa teruja bahawa Kementerian Kewangan dan MDEC telah memuatkan elemen eksport dalam SMO tahun ini kerana kami percaya bahawa sokongan tambahan ini akan terus meningkatkan daya saing para penjual tempatan. 

 

"Kami juga akan terus menyokong inisiatif ini dengan memberi penekanan khusus untuk mempromosikan produk yang dihasilkan secara tempatan demi menghasilkan impak yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, dengan sokongan padu kerajaan dan kerjasama yang berkesan antara sektor awam dan swasta, MDEC berhasrat untuk terus menjadi pemangkin bagi pertumbuhan e-dagang di Malaysia.

 

"Bersama-sama, kita dapat mencapai matlamat MyDigital dan menempatkan negara di landasan yang baik menuju ke arah Malaysia 5.0, sebuah negara digital yang berdaya saing di seluruh dunia, berteraskan inklusiviti, kemampanan dan kesejahteraan bersama, dengan ini menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," jelasnya.

 

 

smo

 

 

Memandangkan SMO berlangsung seiring dengan 7.7 Jualan Tengah Tahun Shopee, rakyat Malaysia akan mendapat pelbagai ganjaran hebat. 

 

Selain daripada tawaran daripada SMO, rakyat Malaysia juga dapat menikmati penghantaran percuma tanpa pembelanjaan minimum, Pulangan Tunai Syiling Shopee 120%, 7.7 juta baucar serta penjimatan hingga 77%. 

 

Para pengguna turut berpeluang memenangi sebahagian daripada 27 juta Syiling Shopee dan sebuah PlayStation 5 dengan bermain permainan menarik semasa 7.7 Jualan Tengah Tahun yang sedang berlangsung hingga 7 Julai.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Shop Malaysia Online, layari https://shopee.com.my/m/smo2021. - DagangNews.com