Siab Holdings sasar kumpul RM36.72 juta daripada IPO | DagangNews Skip to main content

Siab Holdings sasar kumpul RM36.72 juta daripada IPO

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 28 Jan - Siab Holdings Berhad menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM36.72 juta dengan terbitan 122.41 juta saham baharu, bersamaan 25% daripada modal sahamnya yang diperbesar, pada harga RM0.30 sesaham. 

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, daripada 122.41 juta saham, 24.48 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia. 

 

Katanya, sebanyak 12.24 juta saham lagi akan disediakan untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan. 

 

"61.20 juta saham akan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan baki 24.48 juta saham adalah untuk pelabur terpilih," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Syarikat itu berkata jumlah hasil sebanyak RM36.72 juta akan memberikannya fleksibiliti untuk menyokong usaha masa depan kumpulan.

 

Ia berkata, sebahagian daripada hasil itu akan digunakan untuk meningkatkan jentera dan peralatannya untuk menyokong pengembangan perniagaan ke dalam projek bernilai lebih tinggi. 

 

"Kumpulan Siab juga bercadang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil untuk membina kemudahan penyimpanan untuk mengimbangi kos sewanya, melaksanakan sistem pemodelan maklumat bangunan untuk menambah baik reka bentuk dan perkhidmatan binaannya, menaik taraf dan menyepadukan perisian serta pembesaran pejabat untuk menampung penambahan tenaga kerjanya," kata Pengarah Urusan Kumpulan Siab Ng Wai Hoe.

 

Setakat ini, Siab mempunyai kira-kira lapan projek pembinaan yang sedang berjalan, yang dijangka siap antara 2022 hingga 2024, dengan jumlah nilai kontrak tertunggak sebanyak RM544.98 juta. 

 

“Kami berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan industri pembinaan dan melalui penyenaraian kami, kami akan mendapat pendedahan kepada pasaran modal untuk mempercepatkan proses pertumbuhan kami," katanya.

 

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai 28 Jan dan akan ditutup pada 16 Februari dan Siab secara tentatif dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 Februari depan. -DagangNews.com