Siaran Astro tergendala 3 hari, satelit MEASAT-3 rosak | DagangNews Skip to main content

Siaran Astro tergendala 3 hari, satelit MEASAT-3 rosak

.

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Gangguan ke atas perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran menggunakan satelit MEASAT-3 yang berlaku sejak 21 Jun baru-baru ini  berjaya dipulihkan.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, gangguan tersebut berlaku apabila posisi satelit MEASAT-3 terjejas disebabkan oleh masalah teknikal.

 

"Menurut laporan yang diterima daripada pihak MEASAT, kerja-kerja baik pulih telah giat dijalankan susulan insiden itu dan satelit tersebut kini telah diletakkan kepada mod operasi biasa. 

 

"Manakala, transponder juga telah dihidupkan kembali sejak pukul 9.30 pagi tadi bagi membolehkan para pelanggan untuk menyambung semula perkhidmatan mereka dan proses ini dijangka mengambil masa selama beberapa jam," jelas MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Gangguan yang berlaku itu mengakibatkan gangguan ke atas pelbagai perkhidmatan seperti Direct-to-Home (DTH), pengagihan saluran video, perkhidmatan telefon mudah alih oleh pihak penyedia perkhidmatan dan juga  perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT).

 

Dianggarkan seramai 14,000 pelanggan terkesan akibat insiden berkenaan.

 

Dalam kenyataan sama, MCMC memberitahu, meskipun punca kejadian sebenar masih belum diketahui, siasatan awal yang dijalankan mendapati berlakunya kegagalan thruster. 

 

Susulan itu, back-up thrusters telah digunakan untuk mengawal satelit berkenaan tanpa sebarang impak kepada operasi dan jangka hayat satelit yang dimaksudkan.

 

"MCMC ingin memohon pihak awam untuk menghubungi terus MEASAT sekiranya perkhidmatan yang dilanggani masih lagi terjejas," ujar MCMC lagi. - DagangNews.com