Signature mahu ambil alih 23.67% ekuiti Fiamma bernilai RM180 juta | DagangNews Skip to main content

Signature mahu ambil alih 23.67% ekuiti Fiamma bernilai RM180 juta

Secara kolektif, Signature dan Divine Inventions akan memiliki sejumlah 29.59 peratus kepentingan ekuiti dalam Fiamma setelah selesai pengambilalihan.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Signature International Bhd (Signature), pengeluar kabinet dapur senaraian awam terkemuka di Malaysia mengemukakan cadangan untuk mengambil alih 23.67 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Bhd (Fiamma) dengan pertimbangan tunai berjumlah RM180 juta.

 

Cadangan pengambilalihan kepentingan itu adalah dalam usaha memanfaatkan daripada liputan meluas Fiamma di seluruh negara mengenai rangkaian pengedaran dan perkhidmatan peralatan elektrik rumah dan dapur, yang mana akan bersinergi dengan kabinet dapur Signature serta perniagaan penyesuaian seluruh rumah.

 

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, ia telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan pemegang saham utama Fiamma, Lim Choo Hong untuk memperoleh 120 juta saham biasa atau 23.67 peratus kepentingan ekuiti untuk pengambilan alih berdasarkan pertimbangan pembelian RM1.50 sesaham.

 

Dalam kenyataan berasingan, Divine Inventions Sdn Bhd, entiti swasta yang dikawal oleh keluarga Datuk Seri Chiau Beng Teik, memeterai perjanjian jualan saham dengan Lim Choo Hong untuk membeli 30 juta saham biasa atau 5.92 peratus kepentingan ekuiti dalam Fiamma pada RM1.50 setiap saham.

 

Secara kolektif, Signature dan Divine Inventions akan memiliki sejumlah 29.59 peratus kepentingan ekuiti dalam Fiamma setelah selesai pengambilalihan.

 

Signature berkata, penjualan dan pembelian saham Fiamma, yang dijangka selesai dalam tempoh empat bulan dari tarikh SSA, akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

Kedua-dua pihak memeterai perjanjian terhadap cadangan pengambilalihan ekuiti Fiamma tersebut yang dihadiri CEO Signature International Bhd Tan Kee Chong; CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Fiamma, Jimmy Lim Choo Hong; Pengerusi Signature International Datuk Seri Chiau Beng Teik dan Pengarah Urusan Signature International Chiau Haw Choon pada 18 Mei 2022.

 

Tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, Fiamma pada asasnya adalah syarikat pemegangan pelaburan, manakala anak syarikatnya terbabit terutamanya dalam perdagangan dan perkhidmatan; pembangunan hartanah dan pegangan pelaburan dan pelaburan hartanah.

 

Segmen perdagangan dan perkhidmatan Fiamma, yang mana adalah penyumbang hasil terbesarnya, terbabit dalam pengedaran dan servis peralatan elektrik rumah dan dapur, peralatan sanitari, sistem dapur dan almari pakaian siap bina, peranti perubatan dan produk penjagaan kesihatan.

 

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah Fiamma terbabit dalam pembangunan hartanah kediaman dan komersial di wilayah tengah dan selatan Malaysia manakala segmen pegangan pelaburan dan pelaburan hartanahnya terbabit dalam penyewaan hartanah pelaburan.

 

 

signature
Dari kiri, Tan Kee Chong; Jimmy Lim Choo Hong; Datuk Seri Chiau Beng Teik dan Chiau Haw Choon pada 18 Mei 2022.

 

 

Fiamma telah meraih keuntungan sejak penyenaraiannya pada 1997 dan mencatatkan keuntungan teraudit tahunan selepas cukai antara RM27.72 juta dan RM35.92 juta sepanjang tiga tahun kewangan yang lalu.

 

Mengulas mengenai langkah korporat terkini, Pengarah Urusan Signature, Chiau Haw Choon, berkata cadangan pengambilalihan itu adalah sejajar dengan objektif kumpulan untuk memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang menguntungkan dalam rantaian bekalan industri untuk pertumbuhan masa depan.

 

Beliau berkata, perniagaan utama Fiamma dan anak syarikatnya iaitu peralatan elektrik rumah dan dapur, memiliki banyak jenama dalaman yang diyakini seperti Elba, Faber, Rubine, Tuscani dan Haustern.

 

Katanya, syarikat itu mempunyai liputan meluas di seluruh negara dari segi rangkaian pengedaran dan servis peralatan elektrik rumah dan dapur yang akan menambah nilai dan sinergi kepada kumpulan Signature.

 

Jelasnya, Fiamma juga memegang hak pengedaran untuk jenama antarabangsa peranti perubatan dan produk penjagaan kesihatan iaitu Braun, Speed Queen, Omron dan Beurer.

 

"Kami telah memerhatikan prospek yang menarik dalam syarikat ini, yang telah menyaksikan peningkatan ketara dalam permintaan untuk produknya akibat pandemik COVID-19.

 

"Kesan daripada pelbagai sekatan pergerakan yang dikenakan telah membawa kepada perubahan dalam trend penggunaan perkakas rumah, apabila lebih ramai orang menghabiskan masa di dalam rumah, berusaha untuk meningkatkan kualiti gaya hidup mereka di rumah, dan mendapat lebih minat dalam memasak dan membakar.

 

"Ini seterusnya mengakibatkan peningkatan dalam permintaan untuk produk isi rumah elektrik dan dengan itu meningkatkan jualan dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan Fiamma," katanya.

 

Beliau menambah, industri elektronik pengguna Malaysia menghasilkan produk bernilai RM38.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan daripada RM35.63 bilion pada 2020. Melangkah ke 2022, industri elektronik pengguna tempatan dijangka terus pulih dan mencecah RM44. 01 bilion.

 

"Oleh itu, ini bukan saja disebabkan peluang strategik bagi kumpulan untuk berkembang menjadi pelengkap perniagaan, tetapi penyatuan kepentingan ekuiti Fiamma dijangka meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan kewangan Signature," kata Chiau.

 

Tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, Signature terbabit terutamanya dalam reka bentuk, pembangunan produk, pembuatan, pemasaran dan pengedaran sistem dapur, sistem almari pakaian dan peralatan dapur siap bina.

 

Kedai perdana Signature terbaru di Selangor adalah bilik pameran reka bentuk dalaman terbesar dengan 50,000 kaki persegi menampilkan yang pertama seumpamanya dalam reka bentuk tersuai untuk penyelesaian kediaman seisi rumah. - DagangNews.com