Sila daftar untuk Jaringan Prihatin mulai hari ini hingga 31 Julai, kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Sila daftar untuk Jaringan Prihatin mulai hari ini hingga 31 Julai, kata Perdana Menteri

 

PUTRAJAYA 5 Mei - Kementerian Kewangan membuka pendaftaran untuk Jaringan Prihatin kepada orang ramai bermula hari ini hingga 31 Julai 2021, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis yang diadakan secara maya hari ini.

 

Program Jaringan Prihatin adalah sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mendapatkan bantuan bagi perkhidmatan data internet atau pembelian peranti mudah alih.

 

Program bernilai RM3.5 bilion ini merupakan pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari lalu, yang bertujuan membina bakat dan kemahiran digital seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 


Jaringan Prihatin adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta dua belas (12) syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

 

"Penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini.

 

"Untuk maklumat lanjut mengenai Jaringan Prihatin, sila layari:  https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/jaringanprihatin," kata kenyataan kementerian itu hari ini.

 

PM
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
wainuiomata



Program ini telah diumumkan di dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5 bilion. Mengambil kira jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang bersekolah, RM500 juta telah ditambah di bawah pakej bantuan PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan nilainya RM2.0 bilion. Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga menawarkan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion, menjadikan
faedah keseluruhan berjumlah RM3.5 bilion kepada penerima-penerima BPR.

 

Program ini merupakan sebahagian dari lima (5) Fokus Utama Kerajaan di dalam memulih dan melonjakkan ekonomi Malaysia pasca-COVID, iaitu memperkukuhkan daya saing negara melalui pengurangan jurang digital.

 

Lima Fokus Utama itu adalah:

  1. Mengawal penularan COVID-19 bagi membolehkan pembukaan ekonomi;
  2. Memacu pemulihan ekonomi bagi terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor terjejas;
  3. Memperkukuh daya saing negara;
  4. Memastikan agenda keterangkuman; dan
  5. Mentransformasikan ekonomi kepada aktiviti berasaskan pengetahuan dan berpaksikan inovasi.
     

"Jaringan Prihatin menerapkan konsep keterangkuman dan pada masa yang sama merupakan langkah untuk memperkasakan rakyat Malaysia ke arah ekonomi digital bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan," kata kementerian.  - DagangNews.com