Skip to main content

SilTerra kekal milik Malaysia, DNeX menang bidaan

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Konsortium yang diketuai Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memenangi bidaan untuk memperoleh syarikat fabrikasi semikonduktor, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. dari Khazanah Nasional Bhd. 

 

Menurut DNeX, Khazanah telah memaklumkan, ia memperoleh tawaran bagi kesemua saham modal yang diterbitkan SilTerra, tertakluk kepada perjanjian muktamad. 

 

"Khazanah pada 5 Februari lalu memberitahu DNeX dan rakan strategik (konsortium) yang ia telah menerima tawaran itu. 

 

"Penerimaan ini masih tertakluk kepada kerahsiaan yang ketat dengan Khazanah dan tiada maklumat terperinci mengenai tawaran ini yang boleh didedahkan kepada umum sehingga perjanjian muktamad ditandatangani," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

 

Jelas DNeX, sebarang pengumuman akan dibuat mengikut keperluan masa tertentu selaras dengan syarat penyenaraian apabila terdapat perkembangan mengenai perkara tersebut atau apabila perjanjian muktamad dibuat kelak. 

 

Sebelum ini, konsortium yang diketuai DNeX itu dilaporkan mahu membeli SilTerra dari Khazanah. Pesaing tempatan yang lain, Green Packet Bhd. turut menyertai bidaan itu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pada Disember lalu berkata, DNeX bersedia untuk memulihkan SilTerra, jika diberi peluang berdasarkan kepakaran yang dimilikinya. 

 

Sebelum ini, DNeX berjaya memulihkan Time Engineering Bhd, syarikat asal DNeX.

 

Malah, beliau memberi jaminan bahawa pemilikan SilTerra akan kekal sebagai syarikat Malaysia meskipun ia menjalin usaha sama dengan syarikat asing. - DagangNews.com