KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sime Darby Bhd. merekodkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) berbanding RM1.4 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama 2021 yang mana ia merangkumi keuntungan sekali sahaja sebanyak RM272 juta daripada pelupusan pegangan dalam Tesco Malaysia.
Tidak termasuk keuntungan itu, untung bersih kumpulan merosot sedikit sebanyak 4.3% disebabkan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen perindustrian dan permotoran di China yang terjejas akibat penguncupan volum bagi seluruh industri dalam peralatan berat, kekurangan inventori dan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.
Ia menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu adalah lebih rendah sebanyak RM42.5 bilion berbanding RM44.3 bilion pada FY21.
Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, Sime Darby merekodkan untung bersih yang lebih tinggi, meningkat 32% kepada RM278 juta daripada RM211 juta disumbangkan terutamanya daripada segmen perindustrian yang mencatat keuntungan dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Bagaimanapun, bagi tempoh itu, pendapatan kumpulan susut 4% kepada RM10.9 bilion berbanding RM11.3 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kumpulan melaporkan lebih satu bilion keuntungan tahun ini di sebalik pelbagai cabaran yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan dan kos operasi yang lebih tinggi akibat isu buruh.
Katanya, segmen permotoran menghadapi tahun yang mencabar terutamanya di China manakala Malaysia pula merekodkan peningkatan lebih 50% dalam keuntungan daripada operasi meskipun berdepan dengan dua bulan sekatan pergerakan.
“Bagi segmen perindustrian, harga komoditi yang kukuh telah mendorong permintaan peralatan dalam pasaran utama kami di Australia.
"Namun, kos operasi yang lebih tinggi telah menjejaskan margin. Aktiviti pembinaan yang perlahan di China menyebabkan penguncupan dalam pasaran peralatan berat," katanya.
Beliau memberitahu, kumpulan kekal fokus terhadap pelan rasionalisasi bukan teras apabila pada Julai lalu berjaya menandatangani perjanjian untuk melupuskan Pelabuhan Weifang.
Menurutnya, langkah itu menandakan peralihan kumpulan sepenuhnya daripada perniagaan logistik.
"Melangkah ke hadapan, kami akan menjadi entiti fokus dengan dua enjin yang mantap di dalam automotif dan peralatan berat," jelasnya.
Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 7.5 sen sesaham untuk suku keempat FY22. Ini menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk FY22 kepada 11.5 sen sesaham atau RM783 juta, mewakili pembayaran sebanyak 71% daripada keuntungan bersih. - DagangNews.com