KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sime Darby Bhd bekerjasama dengan Porsche AG untuk mengoperasikan kilang pemasangan pertama pengeluar kereta sport Jerman itu di luar Eropah.
Menurut Sime Darby, kerjasama tersebut akan membolehkan syarikat itu memasang kereta sport tersebut untuk pasaran Malaysia dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama dengan Porsche itu menandakan kematangan dalam hubungannya dengan jenama tersebut.
"Kepercayaan yang diberikan untuk memasang salah satu daripada jenama kereta sport paling dikagumi di dunia ini membuktikan tenaga kerja cekap dan berkemahiran tinggi yang kami miliki di Sime Darby dan keupayaa kami untuk memberikan nilai yang bermakna kepada rakan kami," kata beliau dalam kenyataan di sini, lapor Bernama.
Beliau berkata, setiap kereta Porsche yang dipasang oleh Sime Darby akan melalui standard dan proses yang sama ketat dengan rakan sejawatnya di Eropah.
"Kami akan meneruskan libat urus yang rapat dengan Porsche AG bagi memastikan kami memenuhi standard Porsche bagi setiap langkah yang diambil," katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Porsche bagi Jualan dan Pemasaran, Detlev von Platen berkata, Malaysia dan seluruh ASEAN adalah rantau yang berpotensi besar dan syarikat kereta itu menantikan model pemasangan tempatan pertama yang akan menemui pelanggannya di Malaysia tahun depan.
"Ketika Porsche bergerak ke era mobilisasi baharu, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi bertambah penting. Langkah ini sekarang adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang untuk bergerak seiring dengan permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang dengan pesat,” tambahnya. - DagangNews.com