Sime Darby Property catat peningkatan jualan 48% kepada RM1.9 bilion bagi 1HFY22 | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property catat peningkatan jualan 48% kepada RM1.9 bilion bagi 1HFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Sime Darby Property Berhad merekodkan jualan sebanyak RM1.9 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 June 2022 (1HFY22) atau peningkatan 48% berbanding RM1.3 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu.

 

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, kumpulan itu berada di landasan untuk melepasi sasaran jualan FY22 selepas mencapai RM1.9 bilion atau kira-kira 73% daripada sasaran setahun penuhnya.

 

Jualan belum direkodkan meningkat kepada RM3.4 bilion, berbanding RM1.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi 2QFY22 adalah RM105 juta menjadikan keputusan untuk tempoh enam bulan kepada RM156.56 juta atau peningkatan sebanyak 75.29%.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM615.61 juta pada suku itu, menjadikan hasil 1HFY22 kepada RM1.1 bilion, setanding dengan hasil tahun lalu.

 

Beliau berkata keputusan itu adalah hasil daripada pelancaran produk yang stabil sepanjang tempoh wabak, yang mencatatkan kadar pengambilan yang menggalakkan.

 

"Kumpulan itu akan terus melaksanakan disiplin kewangan yang ketat dalam seluruh operasi kami selain bekerja rapat dengan kumpulan vendor kami bagi menguruskan cabaran semasa.

 

"Kami mempunyai daya tahan dalam menangani isu operasi ini, membawa kepada momentum kukuh kami pada separuh pertama tahun dan kami menyasarkan untuk mengekalkan trajektori positif ini untuk baki tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selaras dengan prestasi positif itu, Sime Darby Property mengisytiharkan dividen interim sebanyak satu sen sesaham berjumlah RM68 juta.

 

Azmir berkata, kekuatan kewangan kumpulan dibuktikan oleh tunai dan setara tunai sebanyak RM820 juta dan penggearan bersih sebanyak 30.3% pada separuh pertama tahun ini.

 

Beliau juga yakin dapat melepasi sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM2.6 bilion dengan pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.8 bilion. - DagangNews.com