Simposium maya E-Nation dianjur pada 20 hingga 23 Oktober | DagangNews Skip to main content

Simposium maya E-Nation dianjur pada 20 hingga 23 Oktober

Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bakal menganjurkan simposium maya berkaitan ekosistem keusahawanan kepada para usahawan, pereka baharu, pengawal selia, pelabur, pembuat dasar dan pemimpin industri.

MaGIC dalam satu kenyataan hari ini berkata, simposium itu akan diadakan pada 20 hingga 23 Oktober depan.

"Simposium ini menggabungkan seramai 1,000 peserta dari pelbagai ekosistem pemula bersama 65 penceramah dan moderator.

"Menariknya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, bekas perdana menteri Korea Selatan, Dr. Chung Un-chan dan  bekas Perdana Menteri Selandia, Helen Clark adalah antara penceramah yang terlibat dalam simposium berkenaan," jelas MaGIC lagi. 

E-Nation adalah persidangan tahunan utama MaGIC untuk menghubungkan syarikat pemula dalam bidang teknologi, perusahaan sosial, pereka, pemimpin, ahli akademik dan ramai lagi.

E-Nation 2020 dianjurkan dengan tema 'Propelling a Resilient Economy' dengan sokongan tiga tonggak utama iaitu Embracing Change, Enabling Technology and Empowering Societies.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, ketiga-tiga tonggak tersebut adalah berpandukan kepada kesan pandemik COVID-19 yang bukan hanya memberi kesan kepada kesihatan awam, malah turut menyebabkan kemelesetan global.

"COVID-19 telah menyebabkan keperluan kepada inovasi dan penciptaan peluang kepada negara untuk bangkit kembali selain mewujudkan ketahanan ekonomi dengan inovasi dan kreativiti.

"Ada pengajaran yang perlu diamati kesan daripada krisis global itu, yang penting ialah belajar dan suaikan diri," jelasnya lagi.

Maklumat lanjut berkaitan tempahan berhubung E-Nation boleh didapati di laman web enation.mymagic.my. - DagangNews.com