Singapura catat jualan rumah tertinggi sepanjang 2 tahun | DagangNews Skip to main content

Singapura catat jualan rumah tertinggi sepanjang 2 tahun

Singapura

SINGAPURA 15 Okt. - Landskap jualan rumah di Singapura mencatatkan peningkatan tertinggi pada September 2020.

Menurut laporan Urban Redevelopment Authority, peningkatan tersebut adalah yang tertinggi direkodkan negara berkenaan sejak dua tahun lalu iaitu Julai 2018.

"Jualan tertinggi itu juga didorong oleh kadar faedah yang lebih rendah serta suntikan rangsangan oleh kerajaan bagi mengurangkan kesan kejatuhan ekonomi akibat COVID-19.

"Jualan unit rumah di Singapura melonjak 5.6% kepada 1,329 pada bulan lalu. Tertinggi sejak Julai 2018," jelas Urban Redevelopment Authority seperti dilapor Bloomberg.

Terdahulu, pasaran hartanah Singapura mengalami kemerosotan terburuk akibat daripada tempoh penutupan (lockdown) selama dua bulan untuk memerangai wabak.

Bagaimanapun, kerajaan Singapura mengambil pendekatan untuk menyuntik rangsangan lebih daripada S$100 bilion.

Nilai hartanah di negara berkenaan turut meningkat dengan kenaikan 0.8% pada suku lalu.

Hasil yang lebih baik daripada jangkaan itu mendorong penganalisis untuk membuat semakan semula terhadap ramalan pada sebelumnya yang menganggarkan penurunan sebanyak 6%, namun perlu dilihat kembali dengan peningkatan 1.5%.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan OrangeTee & Tie, Christine Sun berkata, jualan hartanah di Singapura yang semakin baik itu didorong oleh permintaan yang tinggi oleh pembeli tempatan terutamanya golongan berada untuk menambah jumlah aset.

"Golongan tersebut mungkin berpendapat bahawa kini adalah masa yang tepat untuk membuat pembelian kerana harga berkemungkinan akan meningkat setelah kerajaan Singapura berjaya mengawal penularan wabak secara bertahap.

"Kebanyakan stok perumahan di kawasan pelancaran mega juga semakin berkurangan yang mungkin mendorong pembeli mendapatkan unit mereka dalam masa terdekat," jelasnya lagi. - DagangNews.com