Singapura kuatkuasa `lockdown' mula 16 Mei ekoran kes COVID-19 naik semula | DagangNews Skip to main content

Singapura kuatkuasa `lockdown' mula 16 Mei ekoran kes COVID-19 naik semula


SINGAPURA 15 Mei - Bursa saham Singapura mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh dua bulan pada 14 Mei 2021, dengan saham berkaitan sektor penerbangan paling teruk terjejas ekoran reaksi pelabur terhadap langkah kerajaan republik itu mengetatkan semula kawalan susulan pertambahan kes positif COVID-19.

 

Bagi mengekang kenaikan jangkitan, makan di dalam restoran sekali lagi dilarang dan hanya dua orang dibenarkan untuk semua jenis perhimpunan sosial, berkuatkuasa 16 Mei 2021 (Ahad) untuk selama empat minggu.

 

Antara langkah lain yang dilaksana kerajaan Singapura ialah perintah bekerja dari rumah.

 

Penanda aras Indeks Straits Times (STI) mencatat penurunan lebih daripada 3% berikutan pengumuman kerajaan selepas 1 tengahari semalam, sebelum merangkak naik sedikit untuk ditutup 2.2% rendah atau 68.24 mata pada 3,055.02. Ia sekaligus mencatat paras terendah STI sejak 8 Mac 2021.

 

Dalam dagangan Jumaat, saham rugi mengatasi untung sebanyak 467 berbanding 127, dengan 3.52 bilion unit saham bernilai S$3.22 bilion bertukar tangan.

 

Ahli strategi DailyFX, Margaret Yang berkata, pasaran saham tidak bersedia berdepan tindakan drastik mengetatkan lagi kawalan COVID-19, yang berlaku begitu pantas selepas baharu sahaja dilonggarkan, merujuk kepada had perhimpunan daripada lapan orang kepada lima orang, lebih seminggu lalu.

 

“Ia menggambarkan keadaan mungkin lebih teruk daripada yang kita jangkakan. Di tahap ekonomi, pasti akan ada impak berat ke atas sektor perkhidmatan dan pelancongan," ujar beliau, lapor CNA.

 

Ahli strategi pasaran, Yeap Jun Rong berkata, pasaran ekuiti tempatan yang telah mencatat kenaikan yang teguh sejak awal tahun ini, adalah berdasarkan pemulihan ekonomi yang bagus dan keyakinan pandemik tersebut terkawal di Singapura.

 

“Peningkatan semula kes COVID-19 terbaharu, menimbulkan keraguan terhadap kelancaran pemulihan ekonomi, boleh menyebabkan kelemahan masa terdekat ke atas STI, dengan mempertimbangkan bahagian terbesarnya adalah bersifat kitaran," ujarnya. Saham kitaran adalah yang perniagaan asasnya mengikut kitaran ekonomi.

 

Saham penerbangan paling teruk terjejas iaitu syarikat penerbangan negara, Singapore Airlines (SIA) jatuh 5.7% ke tahap S$4.50 iaitu terendah dalam tempoh 11 minggu, manakala penyedia makanan SATS susut 3.9% ke paras S$3.69. 

 

SINgapore
PESAWAT airbus A380 milik Singapore Airlines di Lapangan Terbang Changi dalam gambar fail 24 Okt, 2020. (Photo: AFP/Roslan Rahman)

 

Berikutan kawalan ketat semula tersebut, gelumbung penerbangan udara antara Singapura dan Hong Kong yang dijadual bermula 26 Mei ini, mungkin akan ditangguhkan. Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung berkata, berkemungkinan besar Singapura tidak akan dapat memenuhi kriteria bagi program tersebut untuk dilaksanakan.

 

Pengendali resort bersepadu, Genting Singapore pula menyusut 3.1% ke S$0.79. Saham bank besar juga merosot lebih 2% seperti OCBC dan UOB, manakala DBS susut 0.7%. 

 

Bagaimanapun, saham rantaian pasar raya Sheng Siong melonjak hampir 11% e S$1.66.

 

Margaret Yang menyifatkan perkembangan tersebut sebagai `reaksi knee jerk' ekoran larangan makan di restoran. "Jika anda lihat sekeliling, tidak banyak saham selamat yang tinggal. Kebanyakan sektor terkena teruk dan pasar raya sahaja yang meraih manfaat daripada perintah mengetatkan pergerakan ini," ujarnya.

 

Saham-saham lain yang rancak didagangkan, Singtel susut 3.7% kepada S$2.32 selepas mengeluarkan amaran syarikat itu menjangkakan kerugian bersih terbesar sebanyak S$1.21 bilion di dalam keputusan kewangan tahunan penuhnya, kebanyakan disebabkan kerugian aset pada dua perniagaannya. - DagangNews.com