SIRIM tawarkan perkhidmatan pengujian dan pensijilan pelitup muka | DagangNews Skip to main content

SIRIM tawarkan perkhidmatan pengujian dan pensijilan pelitup muka

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Sebagai usaha memerangi pandemik COVID-19, SIRIM menyediakan perkhidmatan pengujian dan pensijilan produk bagi pelitup muka yang dijual dan diimport di Malaysia.

Pengujian dan pemeriksaan pelitup muka itu dilakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh SIRIM, di makmal yang diakreditasi dengan kemudahan pengujian terkini di Kompleks SIRIM.

Pengujian dan pensijilan produk SIRIM QAS International bagi pelitup muka adalah mengikut standard antarabangsa BS EN 14683 untuk pelitup muka perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Mohd. Azanuddin Salleh berkata, memandangkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keadaan kesihatan semasa, produk yang menepati keperluan standard dapat memberikan jaminan kepada masyarakat bahawa kualiti standard dipelihara secara konsisten.

 

 Mohd. Azanuddin Salleh
Mohd. Azanuddin Salleh

 

“Produk yang menepati keperluan standard membolehkan pengilang dan pembekal membezakan produk mereka di pasaran dan sekali gus mendapat penerimaan daripada pengguna,” katanya. 

“SIRIM terus komited untuk memupuk keyakinan rakyat Malaysia melalui perkhidmatan yang dipercayai.

“Pada situasi yang mencabar ini, kami menjanjikan usaha dalam membangunkan negara ke arah masa depan yang lebih selamat dan sihat,” katanya.

Pengujian boleh digunakan untuk tiga jenis pelitup muka perubatan: 

Jenis I: Digunakan untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan, terutama dalam situasi epidemik dan pandemik;

Jenis II: Digunakan terutamanya oleh pakar penjagaan kesihatan di dalam bilik bedah atau persekitaran perubatan yang mempunyai persamaan aplikasi Jenis I dan Jenis IIR;

Jenis IIR: Aplikasi sama digunakan seperti di Jenis II dengan sifat tambahan Splash Resistance (R).

 

SC

 

Bagi pelitup muka bukan perubatan, SIRIM QAS International boleh menguji dan memperakui pelitup muka guna semula (kain) atau pelitup muka pakai buang (sekali pakai - 3 lapis).

Pengujian merangkumi Bacterial Filtration Efficiency (BFE); Differential Pressure; Splash Resistance Pressure (Synthetic Blood); dan Microbial Cleanliness (Bioburden). – DagangNews.com