Skip to main content

SIRIM, Turkish Aerospace bekerjasama dalam pelbagai bidang bagi membangunkan ekosistem industri aeroangkasa

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan) menjalinkan kerjasama bersama  Turkish Aerospace Malaysia yang diwakili pengarahnya Muhammad Najmi Ismail (dua dari kiri) bersempena Pameran Penerbangan Selangor 2021.

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - SIRIM Berhad dan Turkish Aerospace bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam membangunkan ekosistem industri aeroangkasa termasuk bidang penilaian pematuhan, pembangunan kualiti dan standard, pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi baharu. 

 

Kerjasama itu antara lain akan mengenalpasti penyelesaian bagi membangunkan keupayaan dan kecekapan bagi SIRIM dan industri aeroangkasa Malaysia, mengenalpasti dan membangunkan Standard Industri Aeroangkasa dan Penilaian Pematuhan, Tentukuran, Khidmat Pemeriksaan, Pensijilan dan Pengujian untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak mempercepatkan penggunaan teknologi termaju yang berkaitan dengan aeroangkasa seperti dron ataupun pesawat udara tanpa pemandu.  

 

“SIRIM dan Turkish Aerospace juga berharap untuk membangunkan Rangkakerja Teknologi Strategik Perniagaan Antarabangsa yang berkaitan dengan Industri Aeroangkasa dan mengenalpasti penyelesaian penuh bagi pelaksanaan projek Pembuatan Pintar Industri 4.0.

 

“Kami juga akan menerokai pembangunan kepakaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi Industri Aeroangkasa. 

 

"SIRIM melalui bahagian penyelidikannya akan membantu proses Penyelidikan dan Pembangunan melalui rakan industri strategik untuk aplikasi baru seperti Bahan Termaju termasuklah Nano Coating, Carbon Fiber dan Polimer," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

sirim
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan) memetrai perjanjian kerjasama bersama  Pengarah Turkish Aerospace Malaysia, Muhammad Najmi Ismail (tiga dari kiri) bersempena Pameran Penerbangan Selangor 2021.

 

Belia berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pengarah Turkish Aerospace Malaysia, Muhammad Najmi Ismail bersempena Pameran Penerbangan Selangor 2021.

 

Turut hadir ialah Naib Presiden SIRIM bagi Perancangan Strategik Kumpulan, Dr. Zanariah Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Space Agency, Prof. Temel Kotil.

 

“Kami gembira dapat menandatangani perjanjian pertama Turkish Aerospace dengan salah satu satu institusi utama di Malaysia, SIRIM. 

 

"Menerusi perkembangan ini, kami berharap dapat menyumbang dan menjadi pemangkin kepada industri aeroangkasa Malaysia melalui beberapa projek bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

 

"Sebagai penyumbang utama ekosistem penerbangan dunia, Turkish Aerospace akan terus menyumbang kepada keupayaan kedua-dua negara dalam bidang aeroangkasa dan industri pertahanan," kata Temel.

 

Turkish Aerospace adalah syarikat aeroangkasa dan pertahanan utama dan merupakan pusat bagi teknologi reka bentuk, pembangunan, pembuatan, integrasi sistem aeroangkasa, pemodenanan dan sokongan selepas jualan di Turki.

 

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), SIRIM akan menerajui Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan industri berkenaan.-Dagangnews.com