Sistem kewangan Islam berbeza? Di sini, langit Malaysia kita junjung | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 14 June 2022

Sistem kewangan Islam berbeza? Di sini, langit Malaysia kita junjung

 

 

 

TERDAPAT komentar yang mengatakan sistem kewangan Islam di Malaysia tidak sama seperti sistem kewangan yang dilaksanakan di negara Timur Tengah.

 

Antara suara nakal mengatakan cara Malaysia melaksana sistem kewangan Islam tidak betul kerana tidak sama dengan cara kewangan Islam dilaksana di sana.

 

Penulis tidak menafikan komentar mereka yang cara perlaksanaan sistem kewangan Islam tidak sama, tetapi yang pentingnya ialah kedua-dua pelaksanaan kewangan tersebut adalah menepati tadbir urus Syariah yang telah ditetapkan oleh para cendekiawan Islam di negara masing-masing.

 

Penulis umpamakan pemanduan kenderaan di Malaysia dan di Timur Tengah. Kenderaan dipandu sebelah kiri di Timur Tengah.

 

Apabila kenderaan tersebut dibawa pulang ke Malaysia, kenderaan tersebut masih boleh dipandu dengan melekatkan sticker "left-hand drive" di belakang kenderaan tersebut.

 

Cuba bayangkan apabila kenderaan tersebut hendak ke Genting Highland, Pahang. Untuk sampai ke sana, kenderaan akan melalui tol Karak yang mana scan ‘tough n go’ berada di sebelah kanan kenderaan.  Bagaimana hendak bayar tol dengan menggunakan kad ‘touch n go’ sedangkan pemandu di sebelah kiri?

 

Apabila dipandu kenderaan naik melalui bukit ke Genting Highland, katalah ada bas pelancong di hadapan. Bagaimana kenderaan hendak memotong bas tersebut sedangkan pemandu berada di sebelah kiri tempat duduk kenderaan?

 

Senario ini adalah kiasan kepada pembikinan sesuatu produk kewangan Islam di negara Timur Tengah berbanding dengan produk yang ada di Malaysia. Keperluan produk kewangan di sana berdasar kepada kepenggunaan yang secocok dengan suasana, undang-undang, budaya dan adat setempat Timur Tengah.

 


 

Iktisad

 


 

Apabila ia hendak dibawa ke negara lain, seperti Malaysia, sudah tentu ada perkara yang perlu diubah suai agar ia secocok dengan Malaysia.

 

Untuk makluman, model kewangan Islam di Timur Tengah dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya adalah model pelaburan.

 

Itu adat budaya mereka di mana mereka lebih tertarik untuk melabur wang mereka daripada meminjam, kerana majoriti rakyat mereka kaya.

 

Model kewangan di Malaysia dan di rantau ini adalah model runcit di mana permintaan kepada kemudahan tunai amat tinggi.

 


 

Iktisad

 


 

Tidak ramai rakyat sebelah sini kaya seperti rakyat di negara Timur Tengah yang mampu melabur dana jutaan ringgit.

 

Di sana undang-undang lain. Cara pelaksanaan kewangan Islam mereka berlainan.

 

Jadi, apabila rakyat Malaysia hendak berurusan dengan mereka maka hendaklah diturut cara dan undang-undang mereka. Hormat cara, budaya, undang-undang mereka.

 

Di Malaysia, terdapat sistem pelaksanaan yang tersendiri.

 

Sesiapa yang hendak berurusan di Malaysia seharusnya menghormati undang-undang kita dan adat budaya pelaksanaan sistem kewangan Islam di sini, seperti mana kita menghormati adat dan undang-undang mereka.

 

Kenderaan 'left-hand drive' itu sebenarnya boleh digunakan di Malaysia, tetapi tidaklah sepraktikal jika ia dipandu di negara Timur Tengah kerana kenderaan tersebut kurang praktikal di jalan raya Malaysia kerana tidak secocok dengan adat, budaya dan undang-undang jalan raya di sini. – DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags