SK Group labur RM2.9 bilion di Malaysia tahun lalu, rancang tingkatkan pada 2022 | DagangNews Skip to main content

SK Group labur RM2.9 bilion di Malaysia tahun lalu, rancang tingkatkan pada 2022

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - SK Group, konglomerat kedua terbesar Korea Selatan, memberi komitmen pelaburan bernilai lebih AS$700 juta (RM2.9 bilion) di Malaysia pada 2021, dan berhasrat meningkatkan pelaburannya di negara ini. 

 

Dalam kenyataan pada Selasa, ia menjelaskan pada Januari 2021, SK Nexilis mengumumkan perbelanjaan modal sebanyak RM2.3 bilion untuk mewujudkan kemudahan pembuatan kerajang tembaga di Sabah, yang akan menjadi sebahagian rantaian nilai kenderaan elektrik (EV) SK Group.

 

Selain itu, anak syarikat SK Group, SoCar Malaysia yang merupakan syarikat perkongsian kereta terbesar negara ini, telah mengumpul lebih AS$55 juta (RM230 juta) daripada EastBridge Partners dan konglomerat tempatan Sime Darby Bhd untuk memacu pengembangannya dan membangunkan platform EV di Malaysia, dengan rancangan menawarkan ratusan EV dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Kumpulan itu, yang mempunyai permodalan pasaran berjumlah AS$177 bilion (RM740 bilion) juga telah melabur sehingga AS$100 juta (RM418 juta) dalam BigPay iaitu syarikat teknologi kewangan serantau terkemuka yang berpangkalan di Malaysia pada Ogos 2021.

 

“Dalam semangat kerjasama yang rancak, SK Group turut menyertai konsortium BigPay untuk memohon lesen perbankan digital di Malaysia. 

 

“SK Group melihat peluang yang semakin meningkat dalam perbankan digital sebagai satu langkah untuk mengubah cara sebahagian besar populasi mengakses perkhidmatan kewangan,” menurutnya.  

 

Ia juga memiliki pengalaman komersial yang terbukti dalam perbankan digital di Korea, seperti Penilaian Kredit Alternatif dan analisis data berasaskan kecerdasan buatan. 

 

SK Group turut berminat untuk meneroka sektor seperti EV, pendigitalan dan alam sekitar bersama-sama rakan kongsi yang mempunyai pandangan yang sama. 

 

Kumpulan itu mengendalikan lebih daripada 120 perniagaan merentas industri tenaga, sains hayat, bahan termaju, mobiliti dan semikonduktor. 

 

Sebagai sebahagian daripada rangkaian SK yang lebih luas, kumpulan itu juga mempunyai akses kepada perspektif dan sumber global yang membantu memenuhi visi syarikat. -DagangNews.com