Skim Insurans Takaful Agromakanan untuk seluruh sektor agromakanan diperkenalkan - PM | DagangNews Skip to main content

Skim Insurans Takaful Agromakanan untuk seluruh sektor agromakanan diperkenalkan - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara, Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat permulaan, subsektor padi dan beras telah dipilih sebagai projek rintis MAFI yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

 

Beliau berkata, skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

 

“Para pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit,” kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Serdang, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, setiap dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.

 

Bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara kata beliau, MAFI melalui Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM).

 

“Berikutan sambutan yang memberangsangkan, Kerajaan bersetuju menambah RM200 juta lagi dalam dana pembiayaan kos rendah untuk menjadikannya RM1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan kita,” ujarnya.


 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


 

Agrobank kata beliau, juga akan menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara.

 

Bersempena MAHA 2022, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik kepada individu termasuk graduan yang ingin memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan di rumah (home-based), membeli mesin bagi tujuan perniagaan makanan, atau pembelian motosikal bagi tujuan penghantaran makanan menerusi platform e-hailing dan seumpamanya.

 

“Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM50 juta melalui Agrobank di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz yang akan menawarkan pembiayaan sebanyak RM 5,000 bagi peringkat pertama dan RM 10,000 bagi peringkat kedua.

 

“Di bawah program ini, pemohon diberikan moratorium bagi tempoh 6 bulan pertama dan dikenakan tiga peratus kadar keuntungan bagi bulan ketujuh dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau 5 tahun,” kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata, negara perlu bergerak selari dengan trend terkini yang menitik beratkan soal keselamatan makanan, jaminan bekalan makanan, nutrisi dan juga ketahanan dalam sistem makanan negara.


 

PM


 

maha

 

maha

 


Menurutnya, Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik.

 

Di bawah jawatankuasa ini, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan yang negara hadapi.

 

Beberapa langkah dan strategi berorientasikan perdagangan, pengeluar dan pengguna telah diperkenalkan oleh Kerajaan iaitu:

1. mengurangkan kebergantungan kepada import bekalan makanan yang mencecah RM 60 bilion pada tahun 2021.

2. menarik pelabur asing untuk melabur dalam projek sektor agromakanan negara.

3. menggalakkan penglibatan secara agresif agensi-agensi Kerajaan serta GLC, GLIC dan pihak swasta dalam agenda menjamin sekuriti makanan negara.  

4. mengukuhkan sinergi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan keluasan tanah untuk aktiviti pertanian dan;

5. Kerajaan komited untuk menyediakan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk subsidi, geran mahupun dana pembiayaan bagi membantu pengusaha dan pemain industri di sepanjang rantaian nilai.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memastikan isu sekuriti makanan negara sentiasa diberi perhatian menerusi Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dan Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi.

 

Di samping itu, 28 sesi menandatangani memorandum persefahaman (MOU) juga akan berlaku melibatkan nilai pelaburan lebih RM5.6 bilion.


 

maha

 

maha

 


“Ini tidak termasuk sesi padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara sebagai salah satu usaha membawa hasil serta produk agromakanan tempatan ke pasaran antarabangsa.  

 

“Sebanyak 15,000 peluang kerjaya dalam pelbagai sektor akan disediakan kepada golongan muda dan graduan yang sedang mencari pekerjaan menerusi Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair,” kata Perdana Menteri. – DagangNews.com