Skim Pembiayaan Lestari Bumi peruntuk RM300 juta bantu usahawan | DagangNews Skip to main content

Skim Pembiayaan Lestari Bumi peruntuk RM300 juta bantu usahawan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua dari kanan) ketika majlis pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi oleh SME Bank hari ini. 

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - SME Bank memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM300 juta melalui Skim Pembiayaan Lestari Bumi bagi membantu usahawan mikro dan kecil di negara ini. 

 

Skim itu membolehkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mapan dan berdaya saing.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, skim tersebut dilancarkan tepat pada masanya memandangkan usahawan mikro dan kecil paling terkesan dengan pandemik COVID-19.

 

Katanya, statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup akibat pandemik ini pada tahun lalu. 

 

"Malah, hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara dan lebih 92% usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu. 

 

"Saya menyeru agar mereka mendaftarkan perniagaan dengan pihak berwajib bagi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan membolehkan bantuan disalurkan sewajarnya melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank," katanya pada majlis pelancaran Skim Pembiayaan Lestari Bumi hari ini. 

 

Selain majlis pelancaran itu, SME Bank turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

MoU itu diwakili Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail; Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin; Timbalan Pengurus Besar SEDC, Rakayah Hamdan; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abd. Ghani dan Ketua Pegawai Operasi AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

 

Skim Pembiayaan Lestari Bumi merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021. 

 

Melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000. 

 

Sementara itu, Aria Putera berkata, kerjasama tersebut menandakan permulaan kepada Skim Pembiayaan Lestari Bumi dan pihaknya berharap lebih banyak agensi akan turut serta sebagai rakan strategik SME Bank.

 

Melalui skim ini, katanya, usahawan akan menerima bantuan yang lebih berstruktur mengikut keperluan perniagaan mereka serta mendapat akses kepada program-program latihan dan bimbingan yang lebih efektif dan tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank.

 

"Dengan kerjasama ini juga, SME Bank dan rakan strategik dapat mengenal pasti bantuan dalam bentuk pembiayaan dan latihan keusahawanan untuk kumpulan sasar supaya mereka tidak ketinggalan menerima bantuan secukupnya.

 

"Selain itu, kami juga akan saling berkongsi data dan idea dalam merangka inisiatif pembangunan PKS agar lebih sistematik," katanya. - DagangNews.com