SKM galak penubuhan koperasi komuniti di PPR | DagangNews Skip to main content

SKM galak penubuhan koperasi komuniti di PPR

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. -   Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Persekutuan (SKMWP) mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk menggalakkan penubuhan koperasi komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan awam sekitar Kuala Lumpur serta Putrajaya.

 

Pengarahnya, Jaafar Ahmad berkata, masalah miskin bandar dapat diatasi menerusi koperasi komuniti menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan modal syer anggota dan hasil keuntungan serta pulangan dividen.

 

Katanya, berdasarkan statistik sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 22 koperasi komuniti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya direkodkan dengan 700 keanggotaan.

 

"Ia merangkumi modal syer berjumlah RM347,634 dengan aset sebanyak RM2,420,389 dan RM1,822,771 bagi perolehan dikumpul pada 2020," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu SKMWP turut berkolaborasi dengan KWP dengan memperkenalkan projek Coop Community Mart (CCM) bagi membangunkan kedai runcit di kawasan PPR atau perumahan awam menjalankan koperasi komuniti setempat.

“Bagi projek ini, beberapa kawasan dikenalpasti dan koperasi PPR dan perumahan awam itu perlu memenuhi syer minimum ditetapkan sebanyak RM30,000 sebelum dipilih untuk terlibat program CCM.


“Selain itu, koperasi komuniti PPR atau perumahan awam terpilih turut akan diberikan bantuan infra dan modal pusingan bernilai RM180,000.


“Bantuan Pembangunan berjumlah RM5 juta setahun dibawah peruntukkan RMK-11 boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh koperasi komuniti dengan bantuan sehingga RM300,000,” katanya.

 

Jelasnya, kemudahan pembiayaan juga disediakan SKM kepada koperasi melalui pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dengan nilai pembiayaan disediakan sehingga RM10 juta.  -DagangNews.com