Skip to main content

SKMM sasar edar 300 kad sim percuma buat pengunjung AKM Kedah

TERDAPAT beberapa syarikat telekomunikasi bersama SKMM sepanjang AKM Kedah ini bagi mempromosikan Pakej Remaja Keluarga Malaysia buat pengunjung yang hadir.
Oleh Mohamad Iman

ALOR SETAR 4 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyasarkan mengedar 300 kad sim percuma di bawah Pakej Remaja Keluarga Malaysia bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah.

 

Setakat ini, lebih 200 kad sim percuma itu telah diedarkan kepada pengunjung berusia bawah 21 tahun di jelajah berkenaan dan jumlah tersebut dijangka bertambah sehingga jelajah tersebut berakhir.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Jabatan Penerangan Malaysia, Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, sejak AKM Kedah membuka tirai pada Jumaat lalu, orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang mendapatkan kad sim percuma yang menyediakan pelbagai manfaat kepada penerima.

 

“Kita jangkakan sasaran itu dapat dicapai pada hari ini berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung dan sambutan meriah sewaktu AKM Kedah kali ini,” katanya.

 

Kerajaan pada 14 Oktober lalu melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia bagi membantu rakyat negara ini mendapat capaian akses internet.

 

Nor Azli Mohd Nor Azian
SEORANG petugas mempamerkan promosi Kad SIM percuma kelolaan SKMM di Jelajah AKM Kedah pada 4 September 2022.

 

Dalam pada itu, Nor Azli berkata, Pakej Remaja Keluarga Malaysia itu adalah merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pasca siswazah.

 

“Dengan bayaran RM10 sebulan dan dibayar RM30 untuk tiga bulan, mereka akan mendapat data 20 gigabyte (GB), selain diberikan data 1GB percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari dan akses internet tanpa had,” katanya.

 

Di samping itu, Nor Azli berkata, terdapat beberapa syarikat telekomunikasi turut sama dengan SKMM sewaktu AKM Kedah kali ini antaranya seperti Celcom, Digi, Maxis, UMobile, Unifi Mobile dan YES.

 

skmm
PENGUNJUNG yang hadir diberi penerangan sebelum melakukan pendaftaran bagi mendapatkan kad SIM percuma menerusi Pakej Remaja Keluarga Malaysia sewaktu penganjuran AKM Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, Kedah.

 skmm

 

 

Tambahnya, pakej berkenaan adalah merupakan inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membantu rakyat khususnya golongan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian.

 

“Selain itu, aktiviti bekerja dari rumah juga boleh dilakukan tanpa kekangan data menerusi inisiatif dilaksanakan ini,” katanya.

 

Tambah Nor Azli, beliau turut menyeru orang ramai untuk menggunakan peluang bersempena AKM Kedah ini bagi mendapatkan kad sim percuma tersebut. 

 

“Orang ramai yang hadir ke AKM Kedah boleh berkunjung ke booth K-KOMM bagi mendapatkan kad sim percuma ini bagi membolehkan mereka mendapat capaian internet dengan mudah,” katanya. - DagangNews.com