SKS Airways mula penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor bermula 26 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

SKS Airways mula penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor bermula 26 Januari 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan -  SKS Airways, syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) ke Pulau Pangkor bermula 26 Januari 2022.

 

Selain itu mereka juga menawarkan akses mudah ke pulau utama lain iaitu Subang ke Pulau Redang mulai 31 Januari 2022; ke Pulau Tioman dari Subang dan Johor Bahru pada suku kedua tahun ini.

 

Dengan pembukaan ketiga-tiga laluan itu, terdapat 12 penerbangan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh 228 penumpang.

 

SKS Airways menawarkan tambang tetap bermula dari RM160 sehala, selain menggunakan sistem Tambang 3 Peringkat yang boleh dipilih oleh pengembara bergantung pada destinasi dan masa tempahan iaitu SKS PROMO, SKS LITE dan SKS PLUS.

 

Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad berkata,penerbangan pertama itu adalah permulaan mereka sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang, kargo dan charter.

 

"Menerusi hab kami yang terletak di Subang dan Senai, kami merancang untuk menghubungkan Malaysia ke destinasi di ASEAN dan selatan China.

 

sks

 

"Sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu, kami aktif, tangkas dan fleksibel, serta berkemampuan memanfaatkan sebarang peluang yang wujud. 

 

"Kami mengambil kesempatan untuk memenuhi permintaan perjalanan terpendam untuk perjalanan domestik dan bersiap sedia untuk perjalanan antarabangsa apabila dibuka semula," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

SKS Airways akan memulakan operasi dengan pesawat Twin Otter, yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik. 

 

Mereka dijangkakan dapat menarik minat individu Gen-Y dan Gen-Z yang celik IT, keluarga muda dan semua pengembara serta pencinta pulau yang tercari-cari pengalaman percutian pendek hujung minggu ke destinasi pulau popular di Malaysia. - DagangNews.com