SMK Iskandar Shah, Jasin muncul Juara 'DIY Made Simple 2021' | DagangNews Skip to main content

SMK Iskandar Shah, Jasin muncul Juara 'DIY Made Simple 2021'

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan `DIY Made Simple 2021’ ke-5, anjuran MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

 

Pengerusi MR D.I.Y. Group, Dato’ Azlam Shah Alias berkata, ‘DIY Made Simple’ merupakan pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengajak para pelajar sekolah menengah untuk mencari cara dan kaedah bagi membaik pulih kemudahan sekolah mereka dengan projek do-it-yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula.

 

'Mobile Recycle Bin' yang dicipta oleh SMK Iskandar Shah, Jasin Melaka
Projek SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka - Mobile Recycle Bin

 

Beliau berkata, SMK Iskandar Shah telah mengalahkan 105 buah sekolah yang lain dari 13 negeri pada pertandingan tahun ini yang bertemakan “Green School - Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom”.

 

"Kami gembira dengan pencapaian dan kerjasama kami bersama UM yang berjaya sepanjang lima tahun ini, dan ini merupakan pengalaman yang amat mengagumkan.

 

"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pertandingan ini dan pencapaiannya menyemai kesedaran amalan hijau termasuk budaya kerja do-it-yourself (DIY) dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat kelestarian MR D.I.Y., di bawah teras alam sekitar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaya, Prof. Dr. Sabri Musa berkata, Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak halangan untuk aktiviti perkembangan para pelajar, terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di seluruh negara. 

 

Sejak tahun lepas, pihaknya telah mengubah suai Pertandingan ‘DIY Made Simple’ dan walaupun ketika pandemik, kami gembira kerana pertandingan ini masih mendapat sambutan daripada sekolah di seluruh Malaysia. 

 

"Kami kagum dengan para pelajar yang telah menunjukkan keberanian dan keazaman mereka untuk cemerlang dalam apa jua keadaan," katanya.

 

Pasukan yang terdiri daripada 10 orang dari SMK Iskandar Shah membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM4,500 untuk projek ‘Mobile
Recycle Bin’ mereka. 

 

Kolej Profesional Dungun, Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra, Melaka seri di tempat kedua dan memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai RM3,000 untuk setiap kumpulan.  -DagangNews.com