Soalan Lazim mengenai Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE)
Umum
- Apakah HIDE?
HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) merupakan analisis Data Raya dan kecerdasan buatan (AI) yang membuat ramalan ke atas sesebuah premis yang berpotensi menjadi titik panas penularan COVID-19 dalam jangka masa 7 hari. Analisis yang dibuat adalah menggunakan data daftar masuk MySejahtera serta pangkalan data kesihatan sedia ada.
Sistem HIDE akan menyenaraikan premis berisiko. Senarai ini akan diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tujuan kawalan kendiri oleh masyarakat umum dan premis perniagaan.
- Mengapa HIDE?
Dapatan daripada HIDE akan memudahkan tindakan awalan secara bersasar dilaksankan oleh pihak berwajib bagi membendung penularan COVID-19. Hasil pemerhatian mendapati 90% daripada kadar transmisi COVID-19 telah berlaku di 0.2% premis yang berdaftar dengan MySejahtera. Dapatan HIDE akan membantu pihak berkuasa untuk melaksanakan tindakan awalan membendung penularan COVID-19 secara lebih baik dan tersusun, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada langkah-langkah kawalan sedia ada.
- Adakah premis-premis ini merupakan kluster jangkitan sebenar?
Tidak. Premis yang disenaraikan merupakan premis yang berpotensi menjadi kluster, sekiranya tiada tindakan awalan diambil. Ia bukan suatu kluster yang telah disahkan sebagai kluster penyebaran COVID-19. Oleh itu, premis yang tersenarai di bawah HIDE adalah berbeza daripada senarai kluster yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
- Siapa yang membangun dan menguruskan sistem HIDE?
Sistem HIDE dibangun dan diuruskan oleh CPRC Analytics, sebuah unit di bawah Kementerian Kesihatan yang dianggotai oleh para pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Ini bertepatan dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) dalam menguruskan pandemik ini, di samping dapat mengurangkan kos untuk pekerjaan dan pendapatan.
- Siapakah pemilik HIDE, data serta analisis yang terhasil dari sistem ini?
Semua data berkenaan HIDE dimiliki oleh Kementerian Kesihatan.
Untuk pemilik premis
- Mengapakah premis saya disenaraikan di dalam HIDE?
Senarai ini dibuat berdasarkan penjejakan kontak data daftar masuk MySejahtera, yang mana sebilangan besar individu berpotensi terdedah kepada individu-individu positif COVID-19 telah mengunjungi premis anda.
- Jika premis saya disenaraikan dalam HIDE, adakah saya perlu menutup premis tersebut? Apakah tindakan awal (pre-emptive) yang perlu saya ambil?
Tidak. Premis tidak perlu ditutup kecuali jika diarahkan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah awalan seperti berikut:
- Meningkatkan tahap kewaspadaan (memeriksa status risiko daftar masuk MySejahtera dan menghalang individu-individu ‘berisiko tinggi’ daripada memasuki premis);
- Melaksanakan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja sama ada melalui ujian RTK-Ag atau RT-PCR
- Memperketat kawalan pergerakan orang ramai terutama di kawasan sempit atau yang sering dikunjungi ramai.
Semakin pantas tindakan wajar diambil, semakin tinggi keupayaan menghalang sesuatu kluster daripada terbentuk.
- Adakah tindakan awalan (pre-emptive) ini perlu?
Usaha melawan COVID-19 adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak mempunyai peranan dalam usaha ini. Tindakan awalan boleh mengurangkan jangkitan serta menghalang pembentukan kluster baharu yang seterusnya boleh menyelamatkan nyawa dan memelihara kehidupan.
- Berapa lama tempoh tindakan awalan (pre-emptive) yang perlu saya laksanakan?
Tempoh tujuh (7) hari pertama sejak premis anda disenaraikan dalam HIDE adalah penting (hari pertama bermula sejak tarikh premis disenaraikan) kerana kluster boleh terbentuk dalam tempoh ini, sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan dilaksanakan.
Tindakan awalan (pre-emptive) seperti kawalan pergerakan orang ramai dan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja adalah langkah-langkah terbaik bagi menghalang penularan COVID-19. Para pemilik perniagaan juga dinasihatkan supaya terus berwaspada walaupun apabila premis anda telah dikeluarkan daripada senarai HIDE.
- Bagaimana saya boleh mengeluarkan premis saya daripada senarai HIDE?
Sekiranya tiada titik panas terbentuk di premis hasil tindakan awalan (pre-emptive) yang dilaksanakan, premis anda akan dikeluarkan daripada senarai HIDE dalam tempoh tujuh (7) hari selepas disenaraikan. Senarai premis yang telah dikeluarkan daripada HIDE akan diterbitkan secara harian.
Walau bagaimanapun, sesebuah premis berkemungkinan akan disenaraikan dalam HIDE lebih daripada sekali. Ini menandakan tindakan kawalan di premis itu adalah tidak mencukupi. Premis yang sentiasa dikunjungi ramai, sesak serta tanpa sistem pengudaraan yang baik adalah berisiko tinggi untuk tersenarai lebih daripada sekali.
Untuk masyarakat umum
- Saya telah ke premis yang disenaraikan dalam HIDE, apa yang perlu saya lakukan?
Jika anda mengunjungi premis yang tersenarai dalam HIDE dalam tempoh 7 hari penyenaraian, anda dinasihatkan untuk meminimumkan kontak dengan orang lain dan memerhatikan jika terdapat apa-apa simptom jangkitan pada diri anda. Jika terdapat simptom dalam tempoh 14 hari, anda dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan terdekat.
- Apa yang perlu saya lakukan dengan senarai HIDE yang diterbitkan setiap hari?
Kawalan kendiri oleh orang ramai dan para pemilik perniagaan merupakan barisan pertahanan pertama Malaysia dalam menghadapi COVID-19. Senarai HIDE bertujuan membantu orang ramai bagi membuat keputusan terbaik dalam menjalani kehidupan seharian ketika pandemik ini. - DagangNews.com
BACA JUGA : Kesan lokasi kes COVID-19 menerusi sistem amaran awal HIDE