Soalnya, mampukah kerajaan tanggung subsidi lebih tinggi jika harga terus meningkat?  | DagangNews Skip to main content

Soalnya, mampukah kerajaan tanggung subsidi lebih tinggi jika harga terus meningkat? 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Mei - Tekanan inflasi dalam pasaran domestik dijangka terus meningkat sehingga separuh kedua tahun ini memandangkan gangguan bekalan global masih lagi berterusan. 

 

Keadaan ini yang berpunca daripada impak pandemik COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine mungkin akan terus memberi tekanan kepada harga hingga menyebabkan inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1%. 

 

Menurut Kenanga Research, lonjakan mendadak dalam bacaan inflasi Malaysia sudah pasti akan berlaku apabila kerajaan secara perlahan-lahan menghapuskan subsidi bahan api dan skim kawalan harga.

 

Katanya, ini ditambah pula dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang dilihat mungkin menghakis kuasa beli pengguna dan memperlahankan pemulihan ekonomi domestik.

 

"Namun, di sebalik ketidaktentuan ekonomi, BNM masih dijangka meneruskan kitaran pengetatannya berikutan keyakinan terhadap pemulihan yang kukuh selepas wabak dan potensi lonjakan dalam kadar inflasi domestik.

 

"Oleh itu, BNM mungkin menaikkan OPR sebanyak 50 hingga 75 mata asas lagi pada tahun ini, tetapi prospek pertumbuhan yang lebih lemah mungkin memaksa BNM mengubah pendiriannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran inflasi 2022 pada 2.9% di tengah-tengah ketidaktentuan global yang masih berterusan.

 

 

Gambar hiasan : Facebook Fama
Inflasi makanan di Malaysia terus meningkat pada April . - Gambar hiasan : Facebook Fama

 

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam menunjukkan penanda aras kenaikan harga barang atau kadar inflasi umum iaitu indeks harga pengguna (IHP) meningkat 2.3% kepada 125.9 pada April 2022 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Kenaikan tersebut adalah melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022 (1.9%).

 

Inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1% dengan 89.1% item makanan bagi kumpulan
Makanan & Minuman telah merekodkan kenaikan.

 

Dalam usaha mengekang kenaikan inflasi, kerajaan mengambil keputusan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini bagi mengekalkan harga siling jualan domestik ayam pada RM8.90 sekilogram.

 

ayam
Kerajaan mengenakan larangan eksport ayam mulai 1 Jun 2022.

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, komponen makanan kekal menjadi kebimbangan utama dalam IHP, kerana ia menyumbang hampir 30% daripada IHP dan pertumbuhan peratusan bulan ke bulan juga lebih tinggi daripada purata dalam 2 suku yang lalu, sekali gus membimbangkan pengguna.

 

Namun begitu, katanya, peningkatan kos pengeluaran dan gangguan bekalan berlaku secara menyeluruh, dan perlindungan makanan global berisiko menambahkan lagi tekanan harga.

 

Menurutnya, dengan kos subsidi menyeluruh yang tinggi, kerajaan mungkin mempertimbangkan pendekatan yang lebih bersasar.

 

"Perbincangan mengenai mekanisme subsidi bahan api yang disasarkan mula dibangkitkan sejak kebelakangan ini apabila kerajaan mendedahkan bahawa subsidi bahan api dijangka melonjak 155% daripada RM11 bilion kepada RM28 bilion tahun ini.

 

"Buat masa ini, harga runcit untuk diesel dan RON95 hanya separuh daripada harga ekonomi. Berdasarkan pengiraan kami, ia akan memberikan risiko menaik kepada ramalan inflasi kami sebanyak 2.5% sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengapungkan harga," jelasnya.

 

 

petrol pump
Kerajaan menjangkakan subsidi bahan api melonjak 155% ekoran kenaikan harga minyak global.

 

 

AmInvestment Bank Research pula berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan permit kelulusan (AP) ke atas import makanan bagi mengelakkan kekurangan bekalan mungkin memberi kekangan tambahan kepada pertumbuhan kadar inflasi.

 

Langkah itu, katanya, akan memansuhkan penglibatan 'orang tengah' dan menghapuskan sebarang dinamik monopoli dalam industri makanan.

 

Selain itu, larangan eksport ayam boleh menstabilkan bekalan domestik dan paras harga walaupun ia hanya berfungsi dalam tempoh jangka pendek.

 

"Bagaimanapun, kebimbangannya adalah sama ada kerajaan sanggup atau tidak terus membayar subsidi jika harga makanan global dan harga minyak terus meningkat lebih tinggi.

 

"Keputusan kerajaan baru-baru ini untuk beralih kepada subsidi minyak yang disasarkan dan bukannya subsidi menyeluruh dilihat sebagai isyarat bahawa kos terlalu tinggi untuk mereka tanggung.

 

"Ini ditambah pula dengan kelemahan ringgit, menjadikan kos import terus meningkat," jelas firma tersebut.
 

Namun, AmInvestment mengekalkan unjuran inflasi tahun ini sekitar 2.8% hingga 3% dengan menjangkakan OPR dinaikkan sekali atau 2 kali lagi, menjadikannya pada paras 2.25% hingga 2.5% pada akhir tahun ini. - DagangNews.com