Socar, TNB bekerjasama bagi memacu penggunaan EV di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Socar, TNB bekerjasama bagi memacu penggunaan EV di Malaysia

Lakaran grafik menunjukkan kerjasama antara Socar Mobility Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd bagi meningkatkan penggunaan EV di Malaysia.

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Socar Mobility Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memanfaatkan perkongsian data permintaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia sebagai sebahagian daripada kerjasama mereka untuk mendorong penggunaan EV. 

 

Kerjasama berkenaan menggariskan pelan TNB untuk memanfaatkan data penggunaan kenderaan dan tabiat perjalanan milik Socar bagi mengenal pasti lokasi strategik di sepanjang laluan-laluan utama untuk pemasangan infrastruktur pengecasan. 

 

Data permintaan yang dikongsikan akan menentukan lokasi, jumlah serta jenis pengecas yang perlu dipasang, termasuk pengecas pantas arus terus (DC). 

 

Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kerjasama dengan Socar kali ini adalah lebih meluas, berbanding kerjasama pada Disember 2019 apabila TNB menjadi pembekal tenaga untuk dua zon EV pertama Socar di Cyberjaya dengan pengenalan sulung EV ke dalam flit mereka. 

 

"Menerusi kerjasama ini, kami yakin dapat memupuk lebih banyak lagi minat di kalangan penggiat lain dalam ekosistem infrastruktur EV bagi memantapkan lagi sinergi persekitaran perniagaan yang akan memberi manfaat kepada komuniti EV secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, TNB menyokong gerakan e-mobiliti dalam sektor pengangkutan bagi menggalakkan penggunaan EV yang lebih tinggi di negara ini. 

 

Katanya, dengan agenda perniagaan berteraskan kelestarian, TNB sedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang berkongsi matlamat sama seperti DHL Express Malaysia dan SOCAR dalam menjayakan inisiatif mobiliti rendah karbon. 

 

"TNB bersedia memainkan peranan utama dalam memacu penggunaan EV di Malaysia, terutama dalam kalangan pengendali pengurusan flit dan salah satu daripada langkah utama bagi mencapai matlamat ini adalah dengan memperbanyakkan lagi zon pengecasan EV yang akan digunakan secara optimum berdasarkan maklumat sedia ada mengenai penggunaan laluan perjalanan,” tambahnya.

 

Socar, dengan kepakaran menguruskan flit dan sumber datanya yang luas, menyasarkan untuk menambah kekuatan flitnya kepada ratusan EV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Ini termasuklah pelancaran sehingga 50 zon EV menjelang penghujung 2022.

 

Di Malaysia, kadar penembusan EV yang rendah, di mana EV merangkumi kurang 0.05%  daripada anggaran 14.5 juta kereta peribadi berdaftar di negara ini, mewujudkan ruang yang lebih luas untuk pertumbuhan dari segi penggunaan, jika model perkongsian kereta dapat membantu mendidik para pengguna mengenai betapa mudahnya penggunaan EV. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Socar Mobility Malaysia, Leon Foong berkata, erdasarkan maklum balas yang diterima daripada para pemandu di Malaysia, didapati adalah sangat penting untuk membolehkan penggunaan EV tanpa perlu memilikinya dan memperbanyakkan lagi infrastruktur pengecasan EV bagi mengatasi kebimbangan berkaitan jarak pemanduan dalam kalangan bakal pengguna EV. 

 

"Kami gembira kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan TNB bagi memperkenalkan pengalaman pemanduan EV yang serba lancar kepada para pengguna. 

 

"Selain itu, model perkongsian kereta kami turut menyokong pemandu yang ingin memiliki EV, kerana mereka boleh menjana pendapatan bagi mengurangkan kos pemilikan dengan menyenaraikan EV mereka di TREVO, iaitu platform perkongsian kereta pengguna kepada pengguna milik kami,” katanya. - DagangNews.com