Solarvest dilantik kontraktor sistem PV Malakoff | DagangNews Skip to main content

Solarvest dilantik kontraktor sistem PV Malakoff

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Malakoff Corporation Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (Malakoff Radiance) telah melantik Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) sebagai kontraktor sistem fotovoltan (PV) solarnya. 

 

Ini bertujuan mempercepatkan kerjasama pembelian tenaga solar dengan beberapa pemain industri logistik di Malaysia, menurut kedua-dua kumpulan dalam satu kenyataan bersama.

 

“Kerjasama ini akan menjana tenaga di kemudahan logistik pemain industri utama seperti Pos Malaysia Berhad, Northport  (Malaysia) Berhad dan Johor Port Berhad, menerusi sistem PV solar yang canggih, menukar bumbung kedua-duanya kepada rumah tenaga solar.

 

“Pemasangan solar itu tertakluk di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bagi tempoh antara 20 hingga 25 tahun. Apabila selesai, jumlah penjanaan dari ketiga-tiga kemudahan ini dijangka dapat menghasilkan kira-kira 11,609.90 MWh elektrik bersih setahun.

 

“Ini secara terkumpul akan meneutralkan sekitar 8,057 tan pelepasan karbon setiap tahun untuk industri logistik,” jelas kenyataan itu.

 

Menurut Malakoff dan Solarvest lagi, aspek kelestarian menjadi keutamaan dalam inisiatif pengembangan perniagaan sebagai sebahagian daripada usaha global yang diterapkan oleh industri di semua sektor hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, lebih banyak hab logistik hijau kian muncul di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan perkhidmatan logistik yang mesra alam.

 

Anwar Syahrin Abdul Ajib

 

Beliau percaya bahawa pelaburan di dalam tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja bagus untuk alam sekitar, malah baik dari segi ekonomi terutamanya buat industri logistik yang beroperasi 24 jam.

 

“Tarif elektrik yang tetap menerusi SSPA akan melindungi perniagaan daripada sebarang peningkatan harga dan boleh mendatangkan penjimatan kos.

 

"Ini membolehkan pemilik perniagaan memperuntukkan lebih banyak sumber kewangan ke arah pengembangan syarikat pada masa akan datang,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong percaya menerusi kerjasama itu, kumpulan dapat meningkatkan lagi penglibatan dalam merealisasikan matlamat kelestarian pemain industri utama. 

 

Davis Chong Chun Shiong
Davis Chong Chun Shiong

 

Ujar beliau, industri utiliti di Malaysia ketika ini menyaksikan perubahan pantas dan menerusi pelaburan Malakoff ke dalam projek solar, ini menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar dalam industri tenaga boleh diperbaharui domestik. - DagangNews.com