Skip to main content

Solarvest kini di papan utama, sasar pelan pengembangan lebih meluas

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Solarvest Holdings Bhd. kini merupakan satu-satunya pemain tulen tenaga solar yang pertama disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia Securities Bhd. setelah melengkapkan status pemindahan penyenaraiannya daripada pasaran ACE. 

 

Pakar tenaga bersih ini mempamerkan pertumbuhan yang kukuh beserta rekod keuntungan kumpulan yang stabil dan sebaran pegangan awam bagi tahun kewangan sebelum ini, menunjukkan ia memenuhi kritera ditetapkan Bursa Malaysia bagi melaksanakan pemindahan penyenaraian tersebut.

 

Dari segi prestasi kewangan, kumpulan merekodkan keuntungan agregat selepas cukai (PAT) bagi 3 tahun kewangan lalu berjumlah RM43.5 juta dengan PAT sebanyak RM16.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

 

Ini membolehkan kumpulan melepasi paras keuntungan yang diperlukan untuk pemindahan status penyenaraian yang memerlukan sekurang-kurangnya PAT sebanyak RM30 juta untuk 3 tahun kewangan manakala PAT RM6 juta bagi tahun kewangan terkini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja menandakan pencapaian penting bagi Solarvest tetapi kepada industri tenaga diperbaharui (RE) di Malaysia. 

 

Katanya, pemindahan status penyenaraian ini juga secara tidak langsung mencerminkan permintaan kukuh dan pengiktirafan terhadap kepentingan tenaga solar di negara ini.

 

"Sebagai syarikat disenaraikan di pasaran utama, kami kini boleh menarik lebih banyak dana institusi yang tidak mempunyai mandat untuk melabur dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di pasaran ACE. 

 

"Oleh itu, ini memberi peluang kepada kami untuk mengumpul lebih banyak dana pada masa depan sekali gus membantu pelan pengembangan kami di pasaran serantau, apatah lagi ASEAN menyasarkan untuk menjadi antara rantau paling pantas berkembang dalam RE dengan menetapkan sasaran 23% menjelang 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada masa sama, kumpulan turut merekodkan imbangan tunai yang mantap dengan kedudukan tunai bersih bagi jumlah kasar sebanyak RM92.2 juta setakat 31 Mac 2021. 

 

Solarvest merekodkan aliran tunai bersih yang konsistem daripada aktiviti operasi sejak disenaraikan pada 2019. Nisbah gearan kumpulan juga kukuh pada 0.15x setakat 31 Mac 2021. 

 

Setakat 31 Ogos 2021, ia memiliki hampir 36.9% sebarang pegangan awam merangkumi 13,293 pemegangan saham awam yang tidak kurang daripada 100 saham biasa setiap satu, sekali gus melebihi keperluan 25% pemegangan awam dalam 1,000 pemegang saham awam.

 

Chun Siong berkata, selain tertumpu dalam pelan pengembangan serantau, kumpulan turut merancang untuk mentransformasikan model perniagaan menjangkaui kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta meningkatkan pendapatan menerusi pemilikan aset dan sebagainya. 

 

"Di samping itu, kami sedang meneroka peluang untuk mempelbagaikan perniagaan berkaitan tenaga bersih, antaranya perkhidmatan berkaitan teknologi hijau dan perniagaan penyimpanan bateri," tambahnya. - DagangNews.com