Solarvest, QBE Malaysia & Anora jalin kerjasama tawar polisi insurans SolarPro Line-Stoppage | DagangNews Skip to main content

Solarvest, QBE Malaysia & Anora jalin kerjasama tawar polisi insurans SolarPro Line-Stoppage

Dari kiri, Samuel Soon Aun, Sunther Kuppan, dan Davis Chong Chun Shiong pada majlis menandatangani perjanjian di antara Solarvest, QBE Malaysia & Anora.

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Solarvest Holdings Berhad (Solarvest), QBE Insurance (Malaysia) Berhad (QBE Malaysia) dan Anora Agency Sdn Bhd (Anora) menandatangani Memorandum Persefahaman tiga pihak bagi menawarkan pelabur solar photovoltaic (PV) yang lebih baik.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong berkata, di bawah kerjasama itu, Solarvest akan dapat menerima, serta memberikan pelabur PV solarnya polisi insurans SolarPro Line-Stoppage serba baharu, polisi liabiliti am yang komprehensif dengan kerugian berbangkit yang ditaja jamin oleh QBE.

 

"Kerjasama ini merupakan satu lagi langkah positif untuk Solarvest kerana kami akan menjadi syarikat solar pertama di Malaysia yang menawarkan polisi insurans SolarPro Line-Stoppage, meningkatkan perkhidmatan penyelesaian solar sehenti kami yang sedia ada. 

 

"Kami percaya ia akan mengukuhkan cadangan nilai kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan kami, dan membantu kami dalam membina buku pesanan yang tidak dibilkan lebih RM600 juta," katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

 

Tambahnya, produk tersebut direka bentuk dan dibangunkan sebagai tindak balas kepada liberalisasi pengagihan tenaga solar di Malaysia dan kemasukan perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang seterusnya. 

 

Katanya, peraturan baharu tersebut bermakna pelabur PV boleh memasang sistem berkenaan dan menjual tenaga terus kepada entiti swasta dan ini biasanya memerlukan pemasangan sistem PV pada hartanah pembeli tenaga.

 

"Walaupun saiz pasaran sistem PV solar yang semakin meningkat di Malaysia, masih terdapat jurang dalam pasaran apabila melibatkan polisi insurans yang benar-benar komprehensif untuk pelabur PV solar. 

 

"Oleh itu, insurans SolarPro Line-Stoppage menyediakan lapisan perlindungan dan jaminan tambahan," katanya. 

 

Beliau turut berkata, perlindungan insurans komprehensif sedemikian akan mengurangkan risiko pelaburan sistem PV solar dengan ketara.

 

"Ini akan menggalakkan aliran dana yang lebih besar ke dalam industri solar dan seterusnya membolehkan penggunaan tenaga suria yang lebih tinggi," katanya. -DagangNews.com