Skip to main content

Solusi terkini Nokia Mudahkan Pengesanan Simptom Covid19

 

 

ESPOO, 16 Okt. – Demi memudahkan pengesanan simptom-simptom jangkitan Covid19 di kawasan yang luas dan sesak, Nokia kini memperkenalkan satu alat pengimbas suhu khas automatik canggih tanpa sentuhan – Nokia Automated Analytics Solution (NAAS).

Solusi Nokia yang memanfaatkan teknologi analisis dan pengurusan berpusat itu lebih menjimatkan kos pemeriksaan suhu secara manual dan memastikan kelangsungan perniagaan berjalan lancar.

Menurut Ketua Jabatan Analisis dan Internet of Things (IoT) Nokia, Amit Shah, solusi digital automatik penting bagi memastikan para pekerja sentiasa dilindungi, rangkaian bekalan bertahan dan memastikan kelangsungan perniagaan tanpa sebarang kekangan lokasi – di kilang, sekolah, pejabat mahupun lapangan terbang.

Hadir dengan kemudahan sistem pengurusan automatik, beranalisis dan data berpusat, solusi Nokia itu memudahkan para pekerja dan kemudahan organisasi-organisasi besar dilindungi sepanjang dan selepas pandemik Covid19 berakhir.

Teknologi terkini itu turut digunakan di kilang pengeluaran Nokia di Chennai bagi menjamin keselamatan para pekerjanya.

“Kami juga berhasrat untuk memperkenalkan NAAS kepada semua pelanggan dalam segmen industri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Kilang Pengeluaran Nokia di Chennai, Sudarshan Pitty memberitahu, solusi NAAS kini memudahkan keselamatan operasi kilang Nokia dan lebih 1,000 kakitangannya dipantau bagi mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam tempoh pandemik ini.

“NAAS membantu kami untuk mematuhi segala SOP secara automatik sepanjang masa. Tidak perlu lagi membazir masa beratur panjang atau memerlukan kakitangan tambahan untuk memeriksa suhu secara manual,” jelas Pitty.  

Dilengkapi sebuah kamera termal, NAAS mampu merakam visual dan bacaan individu yang memasuki kawasan saringan dengan kadar ketepatan +/1 0.3 darjah Celsius.

Visual atau klip video akan diproses secara automatik dan pemberitahuan SMS atau e-mel akan terus dihantar kepada staf yang bertugas jika sebarang masalah dikesan.

Menariknya, NAAS boleh diubah untuk memenuhi keperluan syarikat bagi memberi sokongan lain seperti ancaman sekuriti dan pengesanan anomali biarpun selepas pandemik Covid19 berakhir nanti. – DagangNews.com